Internet mudah alih makin popular

Posted on January 4, 2012

0


SATU kajian tahunan mengenai tabiat internet mudah alih yang dijalankan Yahoo! Net Index 2011, mendapati jumlahnya bertambah lebih dua kali ganda sejak 2010, walaupun penggunaannya di Malaysia masih dikira di peringkat baru.

Kumpulan yang memacu pertumbuhannya adalah kumpulan lelaki muda (15-24 tahun) (62 peratus), iaitu separuh daripada jumlah pengguna internet mudah ali keseluruhannya.

Berbanding dengan negara Asia Tenggara lain, warga Malaysia didapati memiliki lebih banyak telefon bimbit yang mahal termasuk telefon pintar, yang mana 60 peratus memiliki telefon bimbit bernilai RM320 dan hampir satu perempat memiliki telefon bimbit berharga melebihi RM960 apabila dibandingkan dengan telefon harga murah yang lebih lazim digunakan di Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Tidak seperti pasaran Asia Tenggara lain di mana Nokia menjadi pengeluar telefon pilihan, Malaysia adalah satu-satunya pasaran di mana Sony Ericsson menjadi jenama paling popular dengan penguasaan 39 peratus, diikuti Nokia (26 peratus), BlackBerry (6 peratus) dan Apple (enam peratus).

Ketua Unjuran Pemasaran Yahoo!, David Jeffs berkata Yahoo! Net Index 2011 menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai unik dibandingkan dengan pasaran lain di sekelilingnya seperti Vietnam, Indonesia dan Filipina dari segi bilangan pengguna yang menggunakan pelan pascabayar dan jumlah akses internet mudah alih di luar rumah yang lebih tinggi.

“Dengan trend akses internet melalui telefon bimbit serta tahap pembabitan yang semakin meningkat, matlamat Yahoo! seterusnya adalah untuk menggunakan keperluan pasaran yang semakin meningkat dan menyediakan tawaran produk sasaran melalui mudah alih di Malaysia terutama bagi yang sentiasa bergerak,” katanya.

Pada masa ini Yahoo! mendapat 73 peratus pengguna internet di Malaysia dan berada di kedudukan teratas untuk emel, pesanan segera, foto, berita, protal dan berita hiburan.

Statistik menunjukkan lebih ramai mereka dari kumpulan umur 15 – 24 tahun yang gemarkan rangkaian sosial, terdapat juga mereka yang berminat dengan imej/ grafik, fakta atau trivia, berita, jadual tayangan filem serta maklumat mengenai nombor telefon tempatan dan alamat.

Satu perkara yang unik bagi Malaysia adalah mencari jalan/ peta menggunakan telefon bimbit.

Empat aktviti teratas berkaitan mudah alih yang paling kerap dilakukan warga Malaysia adalah emel, mengakses laman rangkaian sosial, muat turun nada dering dan pesanan segera.

Tiga pembekal mudah alih tempatan kekal sebagai penyedia mudah alih dan telefon pintar teratas, yang mana DiGi (47 peratus), Maxis (32 peratus) dan Celcom (8 peratus), digunakan paling kerap oleh warga Malaysia untuk disambungkan ke internet dengan perbelanjaan purata RM48 sebulan.

Penggunaan telefon bimbit pintar dengan pelan data mampu milik, ciri termaju seperti fungsi panggilan dan teks, akses kepada ciri web mobile dan multi media tersebar luas di kalangan pengguna Malaysia.

Melalui pendedahan secara mendalam mengenai trend internet semasa, perubahan landskap digital dan tabiat dalam talian rakyat Malaysia, Yahoo! mengunjurkan untuk menyediakan pengalaman kandungan yang menarik serta unik, seterusnya memberi peluang besar kepada pengiklan untuk menyampaikan maklumat melalui konteks dan pada skala besar.

(Sumber it@Metro)