Antara banjir dan FB … bencana dan teknologi.

Posted on January 5, 2012

0


SATU bencana, satu lagi teknologi. Satu perihal banjir dan lagi satu FaceBook.

Saya bangun pagi ini (5 Januari 2012) kira-kira pukul 6 pagi. Saya tidur agak-agak pukul 1 lebih pagi dan ketika itu hujan mulai turun dengan lebat. Atap zink rumah saya begitu bising – tetapi sedap untuk melelapkan mata.

“Bandar raya Kuching dilanda banjir kilat” – itu antara status FaceBook rakan-rakan saya seawal jam 7 pagi. Selang beberapa tempoh kemudian, ada rakan-rakan yang lain memaklumkan tentang jalan sesak, sekolah tutup dan orang lemas dek banjir.

Lantas saya bingkas dari tempat tidur dan menjenguk ke luar tingkap rumah. Wah…syukur. Kawasan rumah saya masih selamat – tidak ada kawasan yang digenangi air.  

Berpandukan petanda-petanda dalam FaceBook, saya merancang jalan yang akan digunakan untuk sampai ke tempat kerja.

Itu cerita manfaat teknologi maklumat.

Ini pula cerita bencana yang sukar diramal. Semuanya kuasa Allah dan mengandungi hikmah di sebaliknya. Kita kena redha dan pasrah dengan ketentuan-Nya.

Bandar raya ini menerima hujan lebat dengan amaran peringkat kuning sejak tengah malam Selasa bersamaan 4 Januari 2012.

Lebat dan turun untuk tempoh yang lama menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini mula dinaiki air. Lantas ada jari-jemari segera menuding mencari kesalahan pihak tertentu dalam situasi sebegini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Batu Lintang, Batu Kawa, Tabuan Dayak dan Kampung Kudei. Beberapa batang jalan terutama menuju ke pusat bandar tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan air melimpahinya. Ia menimbulkan kesesakan pada awal pagi ketika warga kota turun kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah. Tiga sekolah ditutup kerana bilik darjah digenangi air.

Kawasan-kawasan rendah dibanjiri itu menyebabkan kira-kira 1,400 orang dipindahkan. Bagaimanapun banjir mula surut tengah hari semalam.

Dua orang – seorang pelajar perempuan 19 tahun dan seorang pekerja stesen minyak 29 tahun – hilang dihanyutkan arus deras dan dikhuatiri lemas.

Mangsa ialah Kho Ying Qi, terjatuh ke dalam longkang di Batu Lintang, dan Hermas Sihas turut dihanyutkan arus deras apabila cuba menyelamatkan Kho.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan setakat lewat petang Jumaat, 5 Januari 2012, mangsa-mangsa belum dijumpai.

Di bawah ialah foto-foto banjir kilat yang diperolehi dari FaceBook rakan-rakan sejak pagi Khamis, 5 Januari 2012.

TENGGELAM: Kenderaan yang terperangkap di dalam banjir kilat di Batu Lintang, Kuching.

 

SESAK: Keadaan di beberapa batang jalan raya di sekitar Bandar Raya Kuching akibat banjir kilat.

SELAMAT: Mangsa yang menggunakan beg untuk keluar dari kawasan banjir.