Azam dan harapan 2012.

Posted on January 5, 2012

0


Azam.

SENGAJA ‘posting’ artikel ini dilengahkan bagi memberi ruang kepada rakan-rakan memperkatakan tentang azam dan matlamat masing-masing di tahun baru 2012. Ya, azam itu amat mustahak dalam mencapai sasaran ditetapkan dalam sanubari setiap insan.

Setelah memasuki hari kelima bulan Januari 2012, semakin kurang yang memperkatakan tentang azam dan apakah rancangan dan strategi mereka untuk mencapai azam tersebut. Baru hari kelima tahun baru, ia seolah-olah sudah dihanyutkan masa apabila tidak wujud lagi garis panduan dalam menjalani kehidupan di tahun baru.

Kesedaran memperbaiki diri dan mengubah cara hidup kepada satu kedudukan yang lebih baik lagi, merupakan agenda yang dirancang secara individu atau bersama-sama keluarga dalam memastikan perjalanan hidup sepanjang tahun baru merupakan hari-hari penuh cemerlang dan hebat dengan pengisian lebih bermakna sesuai dengan bertambah usia.

Azam atau tekad yang diletakkan kukuh melalui lisan dan sesuatu yang gemar diungkapkan setiap kali kehadiran tahun baru, secara tidak langsung sebagai rekod permulaan yang baik pada hari pertama bulan Januari.

Meletakkan azam tidak semudah atau sesukar yang disangka. Tetapi ramai yang kurang peduli dengan kepentingannya, apatah lagi mengambil tahu perkara-perkara penting untuk menanam semangat baru kehidupan.

Tanpa perancangan, ungkapan semangat cuma tinggal ungkapan awal tahun dan mungkin juga keadaan yang sama berlaku seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Mengambil contoh sebuah organisasi dan institusi, visi dan misi merupakan antara perkara penting yang perlu ada sebelum sebuah organisasi dan institusi bergerak dalam satu matlamat yang sama dan terarah.

Tanpa kedua-dua perkara ini, sebuah kumpulan tidak dapat bergerak bersama dalam memenuhi perancangan serta agenda yang disusun walau sehebat mana ia dibentuk.

Visi diinterpretasikan sebagai imej yang terbentuk di minda berpunca daripada imaginasi. Ia juga boleh difahami sebagai sesuatu yang telah dan sedang dilihat.

Dengan erti kata lain, visi merupakan sesuatu yang ingin dicapai dan ingin dipenuhi oleh seorang individu melalui imaginasi yang membentuk imej-imej di minda.

Azam tahun baru harus digerakkan dengan perancangan tidak sekadar impian kosong dan semangat bersifat seketika. Semakin jauh kita memenuhi setiap agenda ke arah matlamat kesempurnaan dan kecemerlangan hidup, semakin kita merasakan betapa bererti setiap masa dan hari yang kita lalui dalam kehidupan.

Azam tahun baru harusnya mengambil kira peranan individu dalam kehidupan. Sebagai seorang suami, apakah azam tahun barunya dalam memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga dan isteri serta dalam masa yang sama memikirkan azam yang ingin dipenuhi sekiranya beliau seorang kakitangan dalam sektor kerajaan atau swasta.

Kerana itu, berfikir, merancang dan mencatat amat penting agar kita sedar akan tanggungjawab kita dalam memenuhi janji pada diri. Melalui cara ini, kehidupan lebih fokus dan tetap kepada sasaran.

Harapan.

Kebajikan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan diharapkan terus meraih perhatian dan simpati kerajaan pada tahun 2012.

Ini hampir pasti apabila melalui Bajet 2012 kerajaan bersetuju untuk memberi insentif kewangan RM100 kepada setiap seorang pelajar sekolah bagi membantu meringankan beban ibu bapa menghadapi perbelanjaan persekolahan di samping pemberian RM500 kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Ternyata kejayaan dan pencapaian memberangsangkan kerajaan seperti ini berjaya mengimbangi beberapa insiden yang menjadi kerisauan rakyat yang berlaku sepanjang tahun 2011. Ia dilihat berjaya mengembalikan keyakinan rakyat kepada pihak kerajaan.

Lantas rakyat mula menaruh harapan yang cukup besar dan tinggi bagi 2012 agar kerajaan akan terus menjadikan keperluan untuk menjaga perpaduan kaum, kebajikan rakyat serta keamanan negara sebagai agenda utama pemerintah.

Dalam hal ini pelaksanaan kesemua program transformasi perlu dipantau secara berterusan agar dapat memberikan impak dan hasil yang diharapkan kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Tidak boleh ada toleransi dan kompromi dalam soal seperti ini. Keprihatinan dan keseriusan kerajaan dalam menangani cabaran isu seperti ini perlu diterjemahkan melalui tindakan yang efektif dan boleh memberikan impak yang besar kepada rakyat dan negara.

Rakyat juga mengharapkan agar pelaksanaan program di bawah ETP akan terus memulih dan memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih memberangsangkan pada 2012 agar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dengan pertambahan peluang pekerjaan yang pelbagai.

Kita juga berharap andai Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan pada 2012 ia akan menjadi pilihan raya yang terbaik dalam sejarah pilihan raya negara kita dengan pelaksanaan beberapa penambahbaikan yang sewajarnya seperti penggunaan dakwat kekal dalam perjalanan sistem pilihan raya di negara kita oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Apa-apa pun, semoga 2012 bakal menjanjikan dan menzahirkan kehidupan yang lebih bersatu padu, aman dan damai agar negara dan rakyat kita akan terus mengecapi kehidupan yang selesa dan makmur.

Posted in: kerajaan, Sosial