Antara perjuangan Anwar Ibrahim dan rumah untuk rakyat.

Posted on January 9, 2012

0


DUA perkara di atas memang tidak ada kaitan antara satu sama lain. Cuma ada sedikit hubung-kait iaitu “perjuangan”.

Agak ramai rakyat di Malaysia memperjuangkan agar ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari tuduhan meliwat (sebelum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai tidak bersalah pada 9 Januari 2012).

Tetapi tidak kurang juga ramai rakyat kita masih memerlukan perjuangan daripada kerajaan untuk memiliki rumah, agar mampu berteduh dari hujan dan panas, tempat untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan ilmu dunia dan akhirat.

Apa yang cuba diketengahkan dalam artikel ini ialah perjuangan sebenar dalam mengangkat martabat rakyat yang memerlukan tempat perlindungan.

Rumah ialah merupakan antara komponen penting dalam Teori Maslow yang mengetengahkan tempat perlindungan dan untuk tidur.

Siapa yang tidak mahu memiliki rumah? Sudah pasti semua kita sebagai manusia yang normal mengidam untuk memiliki rumah yang besar dan cantik agar selesa didiami bersama keluarga.

Tetapi disebabkan perbezaan taraf ekonomi yang menjurus kepada keupayaan kewangan, ada yang tinggal di rumah cantik dan besar, malah ada yang tinggal di rumah kecil meskipun ia dihuni oleh ahli keluarga yang ramai.

Ada yang lebih gemar menyewa sahaja berikutan faktor kerja yang menuntut untuk berpindah ke mana-mana diarahkan oleh majikan.

Ada yang tinggal di kuarters disediakan majikan sama ada jabatan kerajaan atau syarikat swasta. Itu boleh dikira beruntung kerana disediakan tempat tinggal, cuma perlu membayar bil elektrik dan air.

Bagi yang kurang bernasib baik, tidak ada modal untuk menyewa dan membeli rumah ketika mencari sesuap nasi di kota, mereka tinggal di kawasan setinggan.

Rumah setinggan bukan satu fenomena asing di bandar atau bandar raya. Ia seakan-akan isu yang sinonim dengan pembangunan di bandar.

Kawasan setinggan yang sering dikaitkan dengan faktor kurang keupayaan kewangan.

Ia juga dikatakan wujud apabila penduduk desa berpindah ke bandar tetapi belum sedia untuk mengadaptasi kehidupan di kota yang hampir segalanya memerlukan fulus! Cabaran besar bagi mereka yang belum sedia dari aspek kewangan.

Justeru, semua masalah wajar diikhtiarkan penyelesaiannya. Masalah setinggan ada cara untuk sekurang-kurangnya meminimumkan atau lebih bagus membasmi terus.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dalam akhbar semalam menyasarkan sifar setinggan pada tahun 2020, sambil mengakui ia bukan satu tugasan yang mudah untuk dilakukan.

“Apabila wujud pembangunan di bandar-bandar, setinggan akan sentiasa wujud,” kata Abang Johari dipetik menerusi The Star Edisi Sarawak.

Usaha menyelesaikan masalah setinggan dapat dilihat menerusi rancangan kerajaan membina rumah mampu milik. Dan angka itu ialah 19,000 unit dirancang dibina dalam tempoh beberapa tahun ini khusus untuk negeri Sarawak.

BASMI: Sarawak mensasarkan sifar setinggan pada tahun 2020.

Jumlah itu juga adalah berdasarkan bilangan setinggan yang dianggarkan di Sarawak.

Daripada 2.5 juta orang penduduk Sarawak, setengah daripada jumlah itu menetap di bandar dan bakinya di pinggir bandar dan luar bandar.