Tahun Baru Cina dan sumbangan ekonomi orang Cina.

Posted on January 9, 2012

0


BAHARU sahaja kita di Malaysia meraikan Hari Natal, kini kian hampir memasuki bab perayaan lain, Tahun Baru Cina. Bukan sahaja orang Cina yang menantikan perayaan ini, ramai yang mungkin menunggu ang pau dari tauke masing-masing.

Banyak premis komersial akan ditutup untuk beberapa hari – menunjukkan penguasaan besar orang Cina dalam ekonomi Malaysia (bukan berniat cemburu atau dengki, sekadar mengetengahkan fakta. Kegigihan mereka berniaga wajar diteladani orang Bumiputera).

Akan ada tarian singa dan naga di depan premis perniagaan atau kediaman orang Cina. Dengan tarian itu diharapkan tahun yang baharu disambut itu bakal membawa lebih banyak kebaikan – bukan sekadar meliputi perniagaan tetapi aspek kesihatan dan kesejahteraan hidup mereka.

Tarian singa atau naga bukan persoalan utama esei ini. Ia lebih jauh dari sekadar makna tarian singa.

Lebih bermakna lagi apabila dibincangkan dari aspek pembangunan ekonomi negara.

Saya gemar menilai sesuatu kaum di Bumi Kenyalang, malahan di Malaysia secara amnya, tentang peranan  serta sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi negara. Lantas saya melontarkan persoalan “apakah”.

  • Apakah bentuk ekonomi negara kita jika tidak ada orang Cina?
  • Apakah Bumiputera berjaya mengangkat kedudukan ekonomi negara?
  • Apakah wujud Dasar Ekonomi Baru yang gagal mencapai matlamat penguasaan dalam ekonomi di kalangan Bumiputera?
  • Apakah ada usaha-usaha untuk menambah keakraban hubungan antara Melayu, Cina dan India?
  • Apakah orang Melayu akan menguasai ekonomi yang kini dalam pengaruh Cina?
  • Di Sarawak, apakah kaum terbesar selepas Iban dan Melayu jika tidak ada orang Cina?

Sesungguhnya peranan kaum Cina di Malaysia dan Sarawak khasnya usah dinafikan. Mereka sebagai warganegara ini, umpama kaum-kaum lain, wajar dihormati sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dan bukan juga saya bermaksud menafikan peranan kaum-kaum lain terhadap pembangunan ekonomi -cuma ingin mengetengahkan peranan kaum Tiong Hua apatah lagi menjelang perayaan mereka tidak lama lagi.

Menyedari kepentingan sumbangan dan peranan masyarakat Cina terhadap negara, kita wajar berganding bahu berusaha bagi membina masa depan yang lebih baik untuk keluarga dan anak-anak kita.

Di bumi Malaysia yang bertuah ini  semua kaum mempunyai peluang untuk  mencipta kejayaan yang diimpikan, apa yang diperlukan adalah perancangan, usaha gigih dan disiplin.

Di Sarawak peranan setiap kaum amat dititikberatkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau sering menekankan tentang penyatuan pelbagai kaum kerana menurutnya tidak ada satu kaum pun di Sarawak yang merupakan entiti majoriti.

Semua kaum menurutnya wajar memberi sumbangan dalam pembangunan negeri. Sebab itu Pehin Sri Abdul Taib Mahmud disifatkan sesetengah pihak sebagai ikon penyatuan pelbagai kaum di Sarawak.

Beliau amat maklum bahawa perpaduan dan kestabilan politik merupakan kunci terhadap kejayaan pembangunan.

Apatah lagi dalam sedikit masa lagi industri-industri yang tumbuh menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memerlukan jumlah tenaga kerja ramai. Justeru, semua kaum perlu menyertai proses pembangunan ekonomi negeri, termasuk menyumbang terhadap tenaga kerja.

Gong Xi Fat Choi sekali lagi!

Posted in: Sarawak, Sosial