Jenayah di Kuching menurun. Syabas polis!

Posted on January 17, 2012

0


ANTARA faktor utama sebelum pelabur asing memutuskan sama ada hendak menanam modal di sesebuah tempat ialah tahap keselamatan. Siapa yang suka membuka perniagaan dalam negara yang tidak aman?

Mustahaknya tahap keselamatan di mata kerajaan dapat dilihat dengan pelaburan dalam membangunkan dan menambah baik perkhidmatan kepolisian. Dahulu gaji anggota polis rendah, sekarang ramai anak muda yang ingin menyarungkan seragam polis kerana gaji kini sudah ‘okay’.

Dahulu tidak banyak anggota polis meronda atas jalan atau di kawasan-kawasan komersial dan perumahan. Sekarang tahap keyakinan orang ramai terhadap keselamatan sudah meningkat dengan adanya sistem rondaan begitu baik diatur oleh pengurusan polis.

Di Bandar Raya Kuching sahaja terutama di bahagian selatan, banyak kelihatan kereta peronda polis melakukan rutin mereka – cegah jenayah. Di pusat bandar raya pula ada kalanya kita terserempak dengan beberapa anggota polis yang meronda dengan menunggang basikal atau berjalan kaki di kawasan tumpuan orang ramai.

Polis meronda dengan berbasikal.

Malahan dalam tahun lepas, pihak berkuasa tempatan atas saranan polis membina pagar-pagar tepi jalan raya yang dikenalpasti sebagai kawasan kerap kejadian ragut. Pagar besi itu dikatakan terbukti telah mengurangkan kes ragut apabila pelaku jenayah ini sukar untuk menggapai beg tangan wanita disebabkan dihadang oleh pagar.

Polis turut memperkenalkan sistem payung yang mana beberapa anggota polis ditempatkan di sesuatu kawasan. Kajian rambang menunjukkan orang ramai berasa lebih selamat dengan kehadiran polis di kawasan mereka. Penjenayah apatah lagi, sudah pasti mereka takut untuk melakukan aktiviti di kawasan tersebut. 

Begitulah sedikit sebanyak tentang cara polis mengurangkan kejadian jenayah.

Menurut akhbar hari ini, 17 Januari 2012, perangkaan jenayah indeks di bandar raya Kuching tahun 2011 menurun 9.92 peratus atau 555 kes iaitu 5,040 kes berbanding 5,592 kes tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 449 kes membabitkan jenayah kekerasan, manakala 4,541 kes atau 90.9 peratus adalah jenayah harta benda.

“Saya berbangga apabila melihat statistik jenayah indeks di Kuching menunjukkan penurunan,” kata Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong.

Ya, Kuching perlu menonjol sebagai bandar raya yang selamat untuk dihuni, apatah lagi di mata orang asing seperti pelancong.

Mereka akan bercerita tentang Kuching atau menggambarkan Sarawak secara amnya tentang keadaan di sini. Jika baik pengalaman mereka sepanjang berada di sini, maka baik jugalah yang akan disampaikan kepada orang lain.

Cerita dan imej yang baik terhadap Sarawak atau Kuching sebagai pusat pentadbiran negeri amat mustahak terutama ketika ini kerajaan giat mempromosikan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) .

Setakat ini SCORE berupaya menarik nilai pelaburan RM25 bilion, dan ia disifatkan sebagai satu perkembangan yang memberangsangkan dalam usaha Sarawak meningkatkan pendapatan negeri serta memanfaatkan rakyatnya.

SCORE dikatakan akan mengubah landskap ekonomi Sarawak dengan tumpuan utama ialah penjanaan tenaga daripada hidro. Ini akan menjadikan Sarawak sebagai sebuah pembekal tenaga pada harga yang kompetitif. Lantas ia bakal menjadi antara faktor penilaian para pelabur untuk masuk ke sini.

Justeru, tahap keselamatan wajar ditingkatkan. Ragu-ragu terhadap keselamatan di kalangan pelabur memungkinkan mereka menutup mata mereka untuk melabur di Bumi Kenyalang.