Kikis persepsi Sibu bandar koboi.

Posted on January 18, 2012

0


ISU bandar Sibu yang sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai sebuah kawasan sering berlaku jenayah pembunuhan wajar diberi perhatian oleh semua pihak, bukan sekadar polis sebagai penguat kuasa undang-undang.

Kita tidak berupaya membuang persepsi orang ramai apabila dua kali dihidangkan dengan kes-kes jenayah pembunuhan sejurus kita melangkah ke tahun baru 2012. Lantas minda manusia yang normal mengaitkan bandar Sibu yang terletak di kawasan tengah negeri Sarawak sebagai kurang selamat dikunjungi.

Bagaimanapun saya setuju dengan kenyataan yang mengatakan ia sekadar persepsi dan hakikatnya bandar Sibu tidak seteruk yang dibayangkan.

Malahan ada di kalangan kita melabelkan Sibu – sebuah bandar yang berkembang kerana industri pembalakan satu ketika dahulu – sebagai tempat yang tidak menghormati undang-undang. Ada yang mengatakan “Sibu is lawless place”.

Mana tidaknya, dalam bulan Januari 2012, dua kes jenayah terjadi di Sibu iaitu kes pembunuhan empat ahli keluarga di rumah mereka dan disusuli kes seorang ahli perniagaan ditembak di sebuah kawasan komersial.
 
Kes pertama membabitkan ahli perniagaan, Ling Tong Hock terbunuh bersama ibunya, Leong Nyuk Lan, 76, dan dua orang anaknya, David Ling Chei Qi, 10, dan Amy Ling Zi Jiun, 7.

Pembunuhan kedua melibatkan Lau Leh Hing, 42, yang ditembak ketika sedang memasuki sebuah kedai menjual peralatan keselamatan. Mangsa mati beberapa minit selepas dimasukkan ke pusat perubatan.

Apa yang kita risau ialah apabila sering berlaku kes pembunuhan, ia semakin membenarkan persepsi orang ramai terhadap tahap keselamatan di bandar tersebut.

Malahan ada pihak yang mengesyorkan kegiatan jenayah di bandar Sibu wajar ditangani oleh pasukan khas polis dikenali sebagai Unit Tindakan Khas (UTK) dari Bukit Aman. Tetapi ia tidak dipersetujui oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah.

Lantas wujud persoalan terhadap pihak yang mengesyorkannya. “Adakah polis ditugaskan di bandar Sibu tidak berupaya mengekang jenayah?” Bagi saya ia memang tidak perlu kerana kes-kes jenayah di Sibu masih berada di tahap terkawal.

Justeru, orang ramai, terutama mereka yang dari luar Sibu tidak wajar gentar atau takut-takut untuk pergi ke kawasan itu. Sibu sememangnya bandar selamat untuk didiami.

Seorang teman di Sibu memberitahu kehidupan di situ aman damai dan tugas harian tetap dilaksanakan tanpa ada kegusaran terhadap perlakuan jenayah, terutama bunuh.

Acryl Sani

Lantas, Datuk Acryl berkata spekulasi yang melabelkan Sibu sebagai bandar gengster adalah tidak betul sebaliknya Sibu merupakan bandar membangun dan dihuni masyarakat yang baik dan suka bekerjasama.

Beliau menyeru orang ramai agar berskap adil dengan orang Sibu kerana spekulasi liar itu hanya mencetuskan kebimbangan di kalangan orang luar kerana memikirkan ia bandar koboi.

Kadar jenayah di bandar Sibu katanya berada di tahap rendah dan tahap keselamatan kini masih terkawal.