Mayat Kho dijumpai selepas dua minggu lebih.

Posted on January 21, 2012

0


Mayat seorang pelajar perempuan tingkatan enam SMK Batu Lintang yang dihanyutkan arus deras dalam banjir kilat Kuching pada 5 Januari 2012, ditemui di tebing Sungai Sarawak kira-kira pada jam 9 pagi hari ini (21 Januari 2012).

Kho Ying Qi, 19, dijumpai di kawasan stesen jana kuasa elektrik arang batu di Sejingkat oleh pencari siput sedut. Kawasan tersebut terletak berdekatan muara Sungai Sarawak.

Usaha mencari dan menyelamat remaja tersebut baru sahaja dihentikan selepas gagal menemui mayat mangsa.

Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak dan disahkan oleh anggota keluarganya berdasarkan beberapa petunjuk.

Mendiang Kho dikatakan terjatuh ke dalam longkang berhampiran stesen minyak Shell di Batu Lintang berhampiran sekolahnya pada sebelah pagi ketika dia dalam perjalanan balik ke rumahnya apabila pihak sekolah menutup sesi persekolahan pada hari tersebut berikutan banjir kilat.

Dalam kejadian tersebut, seorang lagi mangsa dijumpai dua hari selepas kejadian di Sungai Maong.

Mangsa tersebut ialah seorang lelaki pekerja stesen minyak berhampiran. Herman Sihas, 29, lemas apabila cuba menyelamatkan Kho.

Bagaimanapun usaha tersebut gagal dan menyebabkan dia turut dihanyutkan arus deras.

IMBAS SEMULA: Tempat kejadian yang mengorbankan dua nyawa ketika banjir kilat di Kuching.

Posted in: Bencana, Sosial