Dibayar RM1.5 juta bukti pampasan tanah adil.

Posted on January 25, 2012

0


SEKARANG agak reda isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dipaparkan dalam media alternatif kendalian pihak-pihak tertentu yang dikatakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebab serangan itu berkurangan ialah pilihan raya negeri sudah berlalu hampir setahun. Tetapi momentum serangan itu kelihatan naik semula sejak dua minggu lepas kerana pilihan raya umum dijangka diadakan dalam tahun ini.

Modal yang tidak pernah ketinggalan parti pembangkang setiap kali musim pilihan raya (juga menjelang pilihan raya) ialah isu NCR. Isu NCR memang dekat di hati pengundi luar bandar dan ini merupakan strategi terbaik untuk memikat hati mereka.

Jika di bandar pembangkang memainkan isu ketidakadilan ekonomi, di luar bandar PKR, DAP dan PAS ingin menjadi hero dalam masalah NCR.

Antara inti pati dakwaan terhadap kerajaan ialah pampasan dibayar yang tidak sama dengan harga pasaran semasa.

Dan berita di bawah membuktikan dakwaan itu tidak benar.

Petani jadi jutawan segera.

BETONG: Seorang warga tua tidak dapat menahan sebak sebaik bergelar jutawan segera apabila menerima wang pampasan tanah RM1.5 juta daripada kerajaan negeri.

Sundai Kundiang, 69, yang sebelumnya hanya seorang petani dan hidup bersama dua anak serta dua cucunya, menerima tiga cek, masing-masing bernilai RM454,970.70, RM81,090.80 dan RM1,100,413.90.

Ini berikutan tanah yang dimiliki mendiang suaminya di Betong, diambil alih oleh kerajaan bagi pembangunan projek Family Park Betong.

Beliau bersyukur kerana tanahnya yang terbiar selama ini akan dibangunkan kerajaan, sekali gus melayakkannya mendapat pampasan besar sejajar dengan nilai pasaran semasa.

Malah, katanya, dengan pampasan itu, impiannya selama ini untuk memiliki sebuah butik pakaian bakal menjadi kenyataan. Beliau bercadang membuka butik di sebuah premis di Medan Betong.

“Saya sendiri tidak menyangka akan bergelar jutawan. Akhirnya cita-cita saya akan menjadi kenyataan. Saya akan membeli sebuah premis tiga tingkat di Betong, yang ditawarkan pada harga RM650,000 untuk dijadikan butik pakaian untuk diusahakan bersama dua anak saya,” katanya kepada Berita Harian.

Sundai yang akan melabur sebahagian lagi wang pampasan diperolehinya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Sarawak (ASSAR), bagaimanapun meminta supaya nama anak dan cucunya tidak disiarkan.

Namun, Sundai mengakui sedih kerana mendiang suaminya yang meninggal dunia 12 tahun lalu, tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama beliau dan anaknya.

Sundai antara 47 orang penerima pampasan tanah untuk projek Family Park Betong yang nilai keseluruhannya RM8.5 juta. – Berita Harian Sarawak.

Posted in: kerajaan, Sarawak, Sosial