Baucar Buku 1Malaysia dijual?

Posted on January 27, 2012

0


SAYA agak hairan mengapa pada hari tersebut terlalu panjang barisan di kedai buku Popular di Tun Jugah. Saya bukan ulat buku untuk selalu membeli buku, tetapi jarang ada baris panjang seumpama hari itu di sesebuah kedai buku di Kuching.

Selepas beberapa minit berbaris, rupa-rupanya juruwang kaunter kedai tersebut sibuk memproses Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang digunakan oleh pelajar-pelajar membeli pelbagai jenis buku.

Saya tidak memperhatikan sangat apa jenis buku yang dibeli mereka. Yang saya tahu, dari butiran perbualan, mereka merupakan mahasiswa dan mahasiswi dari universiti-universiti di Kota Samarahan.

Hati rasa lega kerana mereka benar-benar menghargai pemberian kerajaan yang ingin meringankan beban kewangan. Maksud saya, mereka tidak menjual baucar tersebut – satu perbuatan tidak berterima kasih.

Tindakan sebilangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjual dan melelong Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang disumbangkan kerajaan bukan saja tidak bertanggungjawab, malah memalukan golongan pelajar dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan tinggi.

Tindakan mereka langsung tidak menggambarkan sikap menghargai pemberian kerajaan bertujuan membantu mereka membeli bahan bacaan untuk menambah ilmu pengetahuan mereka.

Pemberian baucar buku bernilai RM200 itu sepatutnya dihargai semua pelajar kerana niat kerajaan meringankan beban mereka membeli buku akademik dan bukan akademik, tetapi sudah disalahgunakan.

Selain menjualnya secara terus, mereka juga melelong baucar buku itu menerusi internet dengan potongan harga istimewa.

Mereka menggunakan beberapa laman blog dan forum internet termasuk Facebook untuk mengiklankan tawaran berkenaan dengan pengurangan antara RM10 hingga RM60.

Mereka memberi pelbagai alasan untuk menjual baucar itu termasuk sudah mempunyai buku mencukupi serta berada pada tahun akhir pengajian dan tidak perlu membeli buku lagi.

Sebelum ini ada juga aduan menyatakan pelajar yang memperoleh baucar itu membeli buku lain selepas berpakat dengan pemilik kedai buku. Baucar itu diberikan kerajaan kepada 1.3 juta penuntut IPT awam dan swasta, pelajar tingkatan enam, matrikulasi, asasi dan politeknik.

Ia sah digunakan mulai bulan ini sehingga 31 Mac depan. Selain buku akademik, baucar itu juga boleh digunakan membeli jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran di kedai yang dilantik khas.

Pemberian BB1M diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2012 dan dikeluarkan buat pertama kali oleh kerajaan bagi mengurangkan bebanan ibu bapa dan pelajar membeli buku kegunaan mereka.

Perbuatan menjual baucar buku itu jelas bukan saja menyalahi etika sebagai pelajar, tetapi juga tidak mencerminkan tahap kematangan tinggi yang sepatutnya dimiliki penuntut IPT.

Sikap mereka masih kebudak-budakan yang hanya mementingkan wang ringgit untuk dibelanjakan bagi keperluan lain.

Justeru, memang wajar kerajaan khususnya melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tindakan tegas bagi membendung gejala itu agar tidak berulang.

Kita tidak mahu mereka yang terbabit menyangka bahawa ketiadaan tindakan pihak berkuasa bermakna mereka boleh terus melakukan kesalahan sewenang-wenangnya.

Walaupun sukar bagi KPT mengenal pasti pelajar yang melakukan kesalahan itu, namun semua pihak patut menyokong tindakan kementerian, termasuk merampas semula baucar yang dijual itu.

Pelajar sepatutnya menjadi generasi yang pandai berterima kasih dengan pemberian kerajaan, bukannya menjual baucar itu untuk mendapatkan wang tunai bagi kegunaan lain.