Hafiz harumkan nama Sarawak, juara AJL 26.

Posted on January 30, 2012

0


SELEPAS mengharumkan nama Sarawak menerusi Akademi Fantasia (AF) 7 apabila muncul sebagai juara program realiti televisyen kelolaan Astro, penyanyi Hafiz malam tadi (29 Januari 2012) dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 26.

Hafiz, anak Sarawak, merangkul kemenangan itu menerusi lagu dendangan Awan Nano ciptaan Datuk M.Nasir dan lirik Budi Hekayat. Dengan kemenangan tersebut, mereka membawa pulang wang tunai RM 35, 000 dan trofi.

Justeru, bakat anak Sarawak dalam bidang nyanyian tidak dapat dipertikaikan.

Mengimbas kembali permulaan karier dia dalam bidang seni, menerusi AF 7 pada tahun 2009, Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip telah menjadi pilihan majoriti peminat AF7 untuk menjuarai pertandingan itu.

Hafiz menewaskan 4 finalis lain iaitu Aril yang mendapat 22 peratus di tempat kedua, Akim (18 peratus), Yazid (9 peratus) dan Isma (5 peratus) .

IMBAS ... Hafiz (tengah) meraikan kemenangan AF7 pada 2009.

Pada pertandingan akhir AF7, kehebatan Hafiz terbukti apabila beraksi dengan mantap menerusi lagu Kau Bunga Cintaku nyanyian asal Anuar Zain serta lagu baru Masih Jelas ciptaan Aidit Alfian dan AD Samad.

Mengenai kemenangan malam tadi, Hafiz turut memenangi anugerah vokal terbaik, menewaskan pesaing-pesaing yang hebat kualiti vokal. Ini ialah kali kedua berturut-turut Hafiz memenangi vokal terbaik selepas tahun lepas menang melalui nyanyian lagu bertajuk Noktah Cinta.

Dia berjaya menewaskan 11 pencabar lain yang boleh dikatakan juga memiliki suara yang cukup hebat.

Memang tidak dinafikan suara dan persembahan hafiz malam tadi sangat menyerlah di samping muncul penglibatan Hermantino sebagai “ayah Hafiz” dalam video klip lagu tersebut.

Tahniah kepada Hafiz kerana berjaya menjuarai AJL 26 dan yang penting mengharumkan nama Sarawak di persada seni tanahair.

Dengan kemenangan itu Hafiz membawa pulang RM10,000 (vokal terbaik) dan RM35,000 (Juara AJL).

Mungkin sudah tiba masa untuk kita di Sarawak mempunyai lebih banyak saluran bagi mencungkil bakat dalam bidang seni.

Posted in: Hiburan, Sarawak