Sarawak mahu lahir lebih ramai “Pandelela”.

Posted on January 31, 2012

1


PUSAT Kecemerlangan Akuatik dan kompleks sukan, Kementerian Belia dan Sukan yang terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di Kuching merupakan kebanggaan terbaharu rakyat Sarawak dalam bidang sukan, terutama sukan air.

Ia dianggap yang termoden di negara ini.

Kejayaan anak Sarawak dalam sukan tersebut tidak dapat dinafikan dengan kemunculan atlet akuatik Pandalela Rinong, Daniel Bego, Tania Bugo dan Bryan Nickson yang unggul di persada antarabangsa.

Kompleks itu merupakan mercu tanda kejayaan yang diraih oleh atlit-atlit akuatik di Bumi Kenyalang selama ini.

Ia bukan sekadar dibina untuk menghargai kejayaan mereka yang telah menempa nama dalam bidang sukan, tetapi juga dengan harapan berupaya mencungkil bakat baru anak-anak muda di Sarawak untuk mengharumkan nama Malaysia di gelanggang antarabangsa.

Kompleks itu dibina dengan kos lebih RM36 juta. Ia akan menempatkan latihan penuh atlit renang.

Kompleks itu adalah bagi menggantikan kompleks lama dikenali sebagai Tepian Gelanggang yang asalnya menempatkan Ibu Pejabat Belia dan Sukan negeri Sarwak mulai 1970 hingga 1988 dengan Pejabat Belia dan Sukan Kuching kekal di situ sehingga kini.

Pusat Kecemerlangan Akuatik ketika dalam proses pembinaan.

Baca lanjut di :-

http://www.theborneopost.com/2012/01/31/pencarian-secara-menyeluruh/

Pusat Kecemerlangan Akuatik terajui usaha lahirkan perenang, penerjun berbakat.

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Akuatik yang kini sudah siap sepenuhnya bakal menyaksikan bermulanya ‘pencarian bakat’ melibatkan pelajar-pelajar sekolah dari kawasan pedalaman di seluruh negeri.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato Mohid Mohamed berkata usaha sedemikian adalah perlu memandangkan Sarawak sudah pun mempunyai sebuah pusat akuatik yang bertaraf antarabangsa.

“Kita akan membincangkan lebih lanjut mengenai perkara ini (pencarian bakat) bersama Jabatan Belia dan Sukan untuk mencari perenang-perenang yang bagus.

“Malah Institut Sukan Negara (ISN) juga perlu lebih agresif ketika melaksanakan program mencari bakat-bakat ini dengan melibatkan seluruh bahagian di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani dokumen penyerahan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Akuatik oleh kontraktor EPC Synergy Sdn Bhd kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Saleh, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Mohd Selihin Kachon dan Pengarah EPC Synergy Sdn Bhd, Abang Husaini Abang Husin.

Menurut Mohid, kemudahan lengkap di Pusat Kecemerlangan Akuatik amat sesuai untuk menempatkan bakat-bakat yang dikesan bagi menjalani latihan berpusat.

“Ini amat mudah sekali kerana adanya kemudahan asrama dan jika perlu, anak-anak yang dari luar Kuching ini juga boleh mengikuti sesi pembelajaran di sini,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Akuatik yang julung kalinya dibina di negeri ini adalah bertaraf Olimpik berdasarkan standard ukuran serta saiznya.

Sarawak telah melahirkan ramai atlet renang dan terjun bertaraf dunia seperti Tania Bugo, Daniel Bego, Pandalela Rinong dan Bryan Nickson Lomas antaranya.

 

Posted in: Sarawak, Sukan