Edar kad nama, polis mesra ramai banteras jenayah.

Posted on February 4, 2012

0


KESELAMATAN bukan sekadar untuk menarik kemasukan pelaburan asing bagi memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi lebih mustahak orang ramai hidup tanpa rasa takut.

Keselamatan juga merupakan subjek yang amat berkaitan dengan polis. Orang ramai mudah mengaitkan polis jika sesuatu jenayah terjadi. Mereka mempersoalkan kecekapan polis, mengeluh kerana polis dibayar gaji besar tapi kurang cekap, dan polis suka tunjuk lagak.

Tidak pula kedengaran kata-kata pujian jika polis cekap menyelesaikan kes. Kedudukan polis di mata masyarakat amat ‘tinggi’.

Bukan tinggi sebab status sosial atau pekerjaan mereka, maksud di sini ialah masyarakat memerhati gerak geri polis ketika bekerja. Malahan ada yang cuba mengumpan polis dengan wang ringgit agar menyembunyikan kes.

Memang benar kata orang bahawa polis adalah penegak undang-undang yang sering dipandang serong kerana kes-kes rasuah. Itu persepsi kurang tepat, mana-mana organisasi terdedah dengan rasuah. Kerana setitik nila, rosak susu sebelanga.

Dalam usaha membanteras jenayah dan merapatkan hubungan polis dengan orang ramai, polis daerah Kuching mengambil inisiatif baru. Ketuanya, ACP Roslan Bek Ahmad berkata, langkah baru itu ialah dengan mengedarkan kad nama anggota polis kepada masyarakat umum.

Usaha itu adalah untuk memudahkan orang ramai menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada polis.

Selain nombor telefon bimbit, kad nama itu turut memuatkan nombor telefon semua balai polis dalam Daerah Kuching. Semua 1,174 anggota polis bertugas dalam Daerah Kuching akan memiliki kad nama menerusi program yang akan dilancarkan pada awal Mac depan.

Itulah yang orang ramai harapkan agar polis sentiasa mencari inisiatif bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Orang ramai juga berharap agar program ini dilaksanakan dengan sungguh-sungguh, demi meningkatkan tahap keselamatan semua.

Pada tahun 2011, polis Daerah Kuching mencatatkan pengurangan jenayah di bandar raya ini sebanyak 555 kes pada tahun lepas berbanding tahun 2010.

Bekas Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kok Keong, dipetik menerusi akhbar baru-baru ini berkata, tahun lepas mencatatkan sebanyak 5,040 kes manakala pada 2010 sebanyak 5,595 kes.

Katanya, sebanyak 499 kes pada tahun lepas merupakan kes berat manakala selebihnya merupakan kes curi yang majoritinya membabitkan kecurian motosikal iaitu sebanyak 1,294.

Mun membertahu, dengan pelancaran Ops Payung dengan anggota-anggotanya ditempatkan di kawasan panas, polis juga berjaya mewujudkan persekitaran yang selamat.

 

Misi PDRM

“PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA KOMITED UNTUK BERKHIDMAT DAN MELINDUNGI NEGARA DAN BEKERJASAMA DALAM MENGEKALKAN UNDANG-UNDANG DAN KETENTERAMAN AWAM “

Posted in: Jenayah, Masalah Umum