BR1M: Harap semua yang layak menerimanya.

Posted on February 5, 2012

0


SAYA memang suka memerhati karenah orang yang memohon, menyemak dan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Sebab itu, posting kali ini menyentuh tentang topik ini lagi.

Saya tidak pernah jemu memikirkan tentang nasib golongan miskin (tetapi BR1M bukan untuk orang miskin tetapi untuk mereka berpendapatan rendah), sebab apabila memikirkan tentang nasib orang miskin, ia memberi satu keinsafan tentang nikmat diberikan Tuhan kepada saya. Tetapi saya bukan daripada golongan berada, cuma ada kereta, rumah dan yang penting tidak pernah meminta sedekah.

 

BR1M membuka persepsi baru saya terhadap manusia. Mereka taksub dengan wang, mereka suka ada wang, dan demi wang, sanggup berbaris panjang di tengah panas. Banyak wang memang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Pemerhatian saya juga terhad menerusi akhbar dan bandar raya tempat saya tinggal, Kuching. Saya tidak tahu apa cerita tentang BR1M di kalangan penduduk di pedalaman yang terdiri daripada Penan di Sarawak.

Tahukah mereka tentang kewujudan bantuan kerajaan bertujuan meringankan beban golongan seperti mereka? Jika tidak tahu, sudah pasti mereka antara golongan yang terlepas nikmat pemberian kerajaan yang jarang muncul – sehinggakan ada pihak tertentu mendakwa ia pemberian tidak ikhlas kerajaan.

Bagaimana pula mereka tahu ia bukan ikhlas sedangkan hati manusia tidak dapat dibaca, cuma Tuhan yang tahu.

Saya, sebagai insan yang kasihankan orang miskin, bimbang kemungkinan ada penduduk miskin di kawasan luar bandar Sarawak tidak mendapat bantuan RM500 kerana tidak memiliki kad pengenalan, seperti Penan.

Penan sering dikaitkan dengan kontroversi isu kemusnahan hutan oleh media-media dan NGO luar negara. Jika mereka tahu hal ini, sudah pasti mereka mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Mereka ini benar-benar miskin tapi tidak memiliki dokumen yang diperlukan untuk menyokong permohonan masing-masing. Justeru, harap kerajaan persekutuan boleh memberi pertimbangan khusus kepada golongan ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan.

Saya terbaca berita baru-baru ini mengatakan golongan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dianggarkan berjumlah beribu-ribu orang, tinggal di kawasan pedalaman Sarawak.

Mengikut laporan, sehingga akhir 2010, seramai 90,000 orang di seluruh Malaysia masih tidak memiliki sijil kelahiran atau MyKad, majoriti tinggal di Sabah dan Sarawak.
   
Apakah nasib mereka yang tidak ada dokumen pengenalan diri seperti Penan dalam konteks BR1M ini?

Posted in: Sosial