Memajukan industri perabot Sarawak yang dikatakan ketinggalan.

Posted on February 5, 2012

0


Membangunkan industri perabot di Sarawak.

MESKIPUN Sarawak memiliki kelebihan memiliki sumber bahan mentah yang banyak dan merupakan pengimport balak ke pasaran antarabangsa, satu yang perlu dilihat ialah industri perabotnya dikatakan masih ketinggalan.

Jumlah sumbangan negeri ini – tiga peratus – adalah terlalu kecil berpunca perusahaan perabot tempatan berskala kecil dan ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Berdasarkan sumbangan yang kecil, pengusaha industri perabot di Sarawak harus lebih kreatif dan inovatif untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Usahawan tempatan wajar mempelbagaikan inovasi dan produktiviti khususnya dalam penggunaan bahan mentah, reka bentuk dan pengurusan industri melalui latihan selain penyelidikan dan pembangunan.

Dianggarkan 400 pengusaha perabot di negeri Sarawak dan menjalankan usaha skala kecil bagi memenuhi pasaran domestik. Malah, daripada bilangan itu hanya sebahagian kecil perabot dihasilkan dieksport.

Demikian menurut Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Hashim Bojet yang pada masa sama menafikan pasaran perabot di Sarawak kini dikuasai produk dari Indonesia.

Selain itu, faktor industri perabot Sarawak kurang maju adalah kerana tumpuan utama para pengusaha industri perkayuan ialah eksport produk dalam bentuk balak dan kayu bergergaji.

Justeru, sebuah makmal ujian perabot bakal diwujudkan di Sarawak menerusi perjanjian antara Unimnas, Pusaka dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Ia adalah untuk memajukan industri perabot tempatan.

Perjanjian itu merupakan antara usaha mewujudkan kerjasama dalam bidang reka bentuk dan pembangunan perabot, latihan, perkhidmatan teknikal termasuklah penubuhan makmal ujian perabot di negeri ini.

Pusaka mempunyai kekuatan dari segi bahan mentah, FRIM pula mempunyai kepakaran serta melakukan penyelidikan dan pembangunan produk berasaskan kayu. Unimas pula mempunyai keupayaan dalam pengeluaran reka bentuk perabot dan berpotensi sebagai pengeluar pereka dalam industri ini.

Sementara itu, sejajar dengan tujuan membangunkan industri perabot tempatan, FRIM Pusaka dan Unimas akan menganjurkan Seminar Pembangunan Industri Perabot Sarawak di Kuching pada 14 Februari ini.

FRIM melalui kenyataan media memberitahu, seminar dua hari tersebut bertujuan memperbincangkan usaha meningkatkan pengeluaran produk perabot khusus di Sarawak melalui penggunaan sumber kayu serta bahan alternatif dan pemaparan identiti etnik dalam reka bentuk perabot untuk pasaran domestik dan global.

Malaysia adalah salah sebuah daripada 10 negara pengeksport produk perabot terbesar di dunia tetapi sumbangan eksport daripada Sarawak kurang daripada tiga peratus walaupun negeri itu kaya negara pelbagai sumber bahan mentah.

Seminar yang dijangka dihadiri lebih 150 peserta ini akan memberi ruang dan peluang untuk menjalinkan rangkaian komunikasi dan perkongsian maklumat di kalangan wakil dari pelbagai agensi berkaitan dengan bidang perhutanan, pakar, penyelidik, pereka, pengeluar perabot dan peserta industri lain dari Sarawak.

Menurut kenyataan itu, seramai 14 pembentang dari FRIM, Pusaka, Unimas, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Jabatan Perhutanan Sarawak, Persatuan Industri Perabot Sarawak, SME Bank, Pusat Sumber Teknologi Perabot MAra dan Persatuan Kayu-Kayan Sarawak akan berkongsi maklumat pada seminar itu.

Kata kenyataan itu, Seminar Pembangunan Industri Perabot Sarawak adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai.

Untuk pendaftaran atau pertanyaan orang ramai diminta menghubungi talian 082- 473000, 03-62797705 atau 03-62797415.

 

Posted in: Ekonomi, Pembangunan