“Kempen Tanpa Beg Plastik” – Soalnya berjayakah kita mencapai matlamat?

Posted on February 6, 2012

0


“Mahu beg plastik atau tak?” Itu soalan yang ditanya juruwang bertugas di kaunter pembayaran sebuah pasar raya pada hujung minggu lepas. Pelanggan pun menjawab, “Ya, letak dalam beg plastik. Saya tidak ada bawa beg sendiri”.

Dari perbualan tersebut andaian kasar ialah sambutan terhadap Kempen Tanpa Beg Plastik pada hari Sabtu di pusat membeli-belah kurang memberangsangkan. Ia tidak diambil peduli oleh orang ramai.

Mereka tidak sedar betapa pentingnya sumbangan mereka terhadap kempen ini dalam usaha menyelamatkan alam sekitar daripada terus rosak. Tahap kesedaran mereka wajar ditingkatkan.

Kempen Hari Tanpa Beg Plastik bermula secara rasmi 1 Januari 2011, yakni beg plastik tidak lagi dibekalkan secara percuma kepada pengguna di semua pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan premis perniagaan terpilih di seluruh negara pada setiap Sabtu.

Ia diadakan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dalam usaha memelihara alam sekitar, dan mereka yang masih mahukan beg plastik akan dikenakan bayaran 20 sen setiap satu pada hari itu.

Wang hasil pembelian beg plastik oleh pengguna akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan terpilih di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut, dan juga bagi pelaksanaan program-program kepenggunaan terutamanya yang berkaitan pemeliharaan alam sekitar.

Menurut satu portal rasmi kerajaan Malaysia, lebih kurang 500 billion ke 1 trilion beg plastik digunakan serata dunia. Ini bermaksud lebih dari sejuta beg plastik dalam seminit. Dan berbilion-billion beg ini akan menjadi sampah.

Lakukan demi alam sekitar.

Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang diperbuat dan sebuah sumber yang amat berharga – minyak. Lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.

Sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau pun kita mengurangkan penggunaan beg-beg plastik dan sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik yang sudah sedia terkumpul.

Beg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita.

Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut. Selain itu beg plastik juga menyebabkan, berlaku peresapan air yang menyebabkan banjir, dan merosakkan  kesuburan tanah.

Beg plastik tergolong “barang sekali pakai” sehingga memperbanyak sampah. Kalau kita belanja bulanan di pusat membeli-belah, sekali belanja kita akan memakai paling tidak 4 beg plastik dalam berbagai ukuran. Jakarta menghasilkan sekitar 6,000 ton sampah setiap hari, yang lebih dari setengahnya adalah sampah bukan organik terutama plastik dan kertas.

Jika hanya 1 daripada 5 orang di Malaysia mengamalkan tabiat ini, kita dapat mengurangkan sebanyak 110,822,400,000 beg sepanjang umur.

Beberapa buah negara telah mengharamkan penggunaan beg plastik. Contohnya negara China  telah mengharamkan pemberian beg plastik percuma.

Posted in: Masalah Umum