Kuching, bandar raya mendamaikan lagi selamat.

Posted on February 7, 2012

0


SETENANG air di Sungai Sarawak mengalir, begitu juga keadaan sebuah bandar raya dinamakan sebagai Kuching yang begitu tenang dan aman suasananya, sesuai dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri Sarawak.

Mempunyai komposisi penduduk lebih 600,000 orang, Kuching merupakan sebuah bandar raya yang dirancang rapi dari aspek pembangunannya oleh kerajaan di bawah teraju Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Pembangunan pusat-pusat komersialnya dipantau rapi agar tidak bertumpu di kawasan pusat bandar sahaja. Ini bukan sahaja mengelakkan kesesakan lalu lintas, ia juga baik untuk perancangan menyeluruh sesebuah bandar pada masa depan.

Malah, taman-taman perumahan dan kawasan perindustrian disusun cermat agar menampakkan imej bandar raya yang benar-benar rapi perancangan pembangunannya.

TENANG ... pemandangan indah Bandar Raya Kuching pada waktu malam yang menunjukkan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Astana Negeri Sarawak.

Kuching mempunyai tiga kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Tiga PBT tersebut berperanan penting dalam memastikan kebersihan bandar raya berada di tahap optimum, dengan harapan Kuching mengekalkan gelarannya sebagai sebuah bandar raya sejahtera.

Bandar raya yang sejahtera bukan hanya sempurna dari aspek kebersihan, ia juga seharusnya merupakan kawasan yang selamat didiami dengan kes jenayah yang rendah – baharulah orang ramai tidak ada rasa was-was bergerak ke sana ke mari.

Pada tahun 2011, Daerah Kuching mempunyai penurunan jenayah sebanyak 555 kes berbanding tahun 2010 – tahun 2011 sebanyak 5,040 kes, manakala pada 2010 mencatatkan 5,595 kes.

Daripada jumlah itu, 499 kes pada 2011 merupakan kes berat manakala selebihnya merupakan kes curi termasuk curi motosikal.

Aspek keselamatan sesebuah bandar juga dapat dilihat menerusi kehadiran pelancong asing – di Kuching akan ada terserempak dengan orang putih yang mengusung beg ke sana ke mari, ada juga yang kelihatan menunggang motosikal sewa menuju ke kawasan peranginan seperti Santubong.

Mungkin para pelancong tersebut menuju ke satu lokasi menarik di pinggir bandar raya iaitu Kampung Budaya Sarawak yang terletak di kaki Gunung Santubong.

Ia boleh diibaratkan sebagai Sarawak mini yang mempunyai pelbagai jenis budaya di Sarawak dengan 27 etnik. Tujuh etnik kumpulan yang penting tinggal di rumah tradisional dan melakukan kerja seharian.

Nampak gaya pelancong asing tidak gusar berada di bandar raya itu kerana tidak kedengaran cerita-cerita yang mampu menakutkan mereka untuk bertandang ke sini.

Mereka ingin melihat kebudayaan orang di sini, maka mereka boleh dikatakan mendapat layanan ramah daripada penduduk tempatan yang murah dengan senyuman.

SEMULA JADI ... Kuching, bandar raya yang mementingkan kehijauan dalam pembangunan.

Tidak seperti bandar raya di Malaysia yang sinonim dengan kesesakan jalan raya dan hiruk-pikuk penduduknya, Kuching selayaknya diberi jolokan baru sebagai kota santai kerana kedamaian, ketenangan, keunikan dan kepelbagaian budaya dimilikinya berbanding bandar besar lain.

Kuching, bandar yang dinaik taraf sebagai bandar raya pada 1 Ogos 1988, mengalami pembangunan pesat terutama bandar raya Kuching sejak empat dekad lalu.

Bandar raya itu amat sesuai menjadi pusat riadah keluarga dengan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan tidak kira secara individu atau berkeluarga.