Tidak dapat RM500, alih sokongan. Jangan sampai begitu!

Posted on February 7, 2012

0


MUNGKIN kerisauan berdasarkan tajuk di atas wajar diberi perhatian oleh pemerintah terutama diura-urakan tahun ini ialah tahun Pilihan Raya Umum diadakan.

Benar kata Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom apabila beliau gusar mereka yang tidak kukuh pendirian atau sokongan politik, akan membalas dendam atas kertas undi pada pilihan raya kelak.

Golongan ini dikhuatiri akan memangkah calon parti lawan Barisan Nasional (BN). Ada wajarnya kerisauan itu diberi perhatian kerana tindakan mereka yang berada atas pagar mampu mengubah keputusan pilihan raya. Malah, lebih jauh lagi setiap undi berperanan dalam pembentukan kerajaan.

Apatah lagi apabila sekarang, menerusi media baru seperti Facebook dan Twitter, ada pihak yang mengaitkan agihan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai usaha menarik sokongan, atau dengan kata lain ia umpan kepada rakyat.

Umpan pilihan raya, pada masa kini, dirasakan bukan satu strategi terbaik bagi meriah undi. Dan tidak mungkin pemimpin BN sependek begitu akal pemikiran mereka apabila menggunakan pendekatan sedemikian.

Hairan juga apabila media alternatif yang merupakan saluran pihak-pihak tertentu mengetengahkan agenda politik, tidak putus-putus mengkritik BR1M. Dari mula pengagihan borang permohonan, hinggalah proses pengagihan baucar.

Mereka kata BR1M sebagai mainan politik BN. Tetapi sebenarnya siapa yang mempolitikkan BR1M? Sudah pasti pihak mana kerap menyebutlah yang mempolitikkannya.  Dengan menuduh kerajaan bermain politik dalam agihan bantuan kewangan itu, mereka berharap BN akan dicemuh rakyat dan dibayangkan tidak ikhlas dalam kerja-kerja kebajikan. Harapan mutlak mereka ialah BN tersungkur di medan pilihan raya lantas pemerintah baru akan menaiki tampuk pentadbiran negara.

Adakah semudah itu? Memang tidak mudah, tetapi wajar diingatkan kepada ahli-ahli politik BN agar tidak memandang enteng permainan politik pembangkang yang gemar bermain dengan psikologi.

Sarawak mempunyai sumbangan besar dalam kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-12, 2008 apabila membantu BN membentuk semula kerajaan di peringkat Persekutuan.

Pada 2008, BN negeri menyumbang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

Pilhan Raya Kecil Parlimen Sibu pada 2010, BN kehilangan satu kerusi apabila DAP merampas kerusi tersebut menerusi kemenangan Wong Ho Leng.

BR1M merupakan antara cara kerajaan membantu meringankan beban kewangan rakyat. Ia diumumkan menerusi sesi pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2011.

Syarat permohonan BR1M adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah sebulan.