Tingkatkan produktiviti pokok getah, capai matlamat basmi kemiskinan.

Posted on February 9, 2012

0


PEMBABITAN dalam estet getah merupakan satu cara untuk membebaskan masyarakat di luar bandar dari belenggu kemiskinan. Hakikat itu dibuktikan dengan bantuan terhadap pekebun-pekebun kecil getah di Sarawak.

Menyedari hakikat itu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM67.5 juta menerusi Program Tanam Semula di tanah berkeluasan 5,000 hektar di Sarawak.

GETAH ... basmi kemiskinan penduduk luar bandar.

Ia dilaksanakan dengan menggantikan pokok tua dan tidak produktif dari segi penghasilan susu getah yang pastinya gagal memberi pulangan lumayan kepada para pekebun, sekali gus membantutkan usaha meningkatkan pendapatan.

Pokok lama digantikan dengan getah klon baharu yang produktif, dan pekebun-pekebun kecil wajar merebut peluang tersebut.

Rancangan Tanam Semula diperkenalkan pada tahun 1952 bertujuan untuk membolehkan pekebun kecil yang mempunyai kebun getah tua dan tidak ekonomik menanam semula dengan klon-klon baru yang boleh memberikan hasil dan pulangan yang lebih baik.

Pekebun kecil dibantu melaksanakan penanaman semula melalui bantuan tanam semula yang diberikan oleh RISDA mengikut kadar-kadar tertentu yang diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Kadar bantuan yang bermula pada tahap RM988 sehektar pada tahun 1952 telah dinaikkan sebanyak tujuh kali selaras dengan peningkatan kos menanam semula.

Menurut laman sesawang RISDA, kumpulan sasar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah seramai 426,381 orang pekebun kecil iaitu 279,127 orang bagi getah dengan keluasan 630,466.244 hektar.

Pekebun kecil didefinisikan sebagai pemilik tanah yang memiliki kurang daripada 40.4686 hektar (100 ekar).

GETAH SEKERAP ... harga getah sekerap pernah melambung hingga RM15 sekilogram.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang percaya program tersebut akan memberi peluang pekebun kecil meningkatkan pendapatan.

Kerajaan bercadang untuk memperluaskan kawasan penanaman getah kepada 250,000 hktar di Sarawak menjelang 2020. Dan ini dijangka mampu meningkatkan taraf pendapatan lebih 350,000 penduduk luar bandar di negeri ini.

Apabila sasaran dicapai, ia secara tidak langsung mampu mengatasi masalah kira-kira 50 peratus atau 1.2 juta penduduk di luar bandar yang berpendapatan rendah.

Usaha untuk menggalakkan penduduk dari setiap bahagian di negeri ini untuk melibatkan diri dalam kegiatan menanam getah telah pun dilaksanakan dengan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM53 juta dibawah Program Transformasi Ekonomi (NKEA) bagi melaksanakan penanaman getah di tanah seluas 10,000 hektar pada tahun 2012.

Dengan harga komoditi yang baik sekarang, pekebun kecil tidak harus terus selesa.

Mereka wajar memberi komitmen lebih tinggi dan sentiasa memberi maklum balas kepada teknologi, pendekatan mahupun sistem yang diperkenalkan oleh RISDA atau agensi penyelidikan lain.

Bagi tujuan ini, pembajaan pokok amat penting kerana ia merupakan asas amalan pertanian yang baik.

Melalui amalan pembajaan yang betul dan teknologi yang sesuai, tempoh muda pokok boleh dipendekkan kepada empat tahun setengah bagi getah dan dua tahun setengah bagi sawit selepas ditanam.