Kempen berhenti merokok terhalang dek rokok seludup?

Posted on February 12, 2012

0


AKHBAR Berita Harian, 12 Februari 2012, melaporkan rokok seludup pelbagai jenama menguasai 40 peratus pasaran. Laporan yang sama turut menyatakan kira-kira 5.6 juta rakyat Malaysia merupakan perokok – 20 peratus daripada bilangan penduduk Malaysia.

Pelbagai cara diusahakan bagi mengekang tabiat buruk merokok – antaranya menaikkan cukai rokok agar perokok yang menyedari beban kewangan akan berhenti merokok. Semua tahu merokok membahayakan kesihatan, tetapi tidak ramai di kalangan perokok benar-benar menghayati kesan buruk terhadap kesihatan.

Mereka terus alpa dalam dunia sendiri. Kata sesetengah daripada mereka, merokok memberi ketenangan, ilham dan melegakan ketegangan. Siapa kata merokok melegakan ketegangan sedangkan hakikatnya, ia memberi tekanan terhadap tubuh badan apabila dihidapi penyakit tidak berjangkit. Mereka yang meredakan tekanan dengan merokok ialah mereka yang menuntut ‘ajaran sesat’.

Meredakan tekanan, bahayakan kesihatan.

Langkah seperti menghiaskan kotak rokok dengan pelbagai penyakit kesan merokok, juga tidak berkesan. Malah, mereka masih selesa dan bangga berjalan ke sana ke sini dengan memegang rokok berjenama mahal seperti Dunhill, Marlboro, Salem, Kent dan macam-macam lagi jenama.

Itu bagi mereka yang mampu membeli rokok jenama mahal. Golongan ini bangga meletakkan kotak rokok di atas meja kedai ketika menghirup segelas kopi-O bersama rakan-rakan.

Tetapi menyedihkan apabila mereka yang tidak mampu membeli rokok Dunhill mempunyai alternatif lain dengan membeli rokok seludup yang jauh lebih murah. Sedih apabila usaha menyedarkan perokok tegar tentang bahaya merokok, terhalang dek aktiviti penyeludupan rokok murah.

Kebanjiran rokok murah seludup.

Pelbagai jenama rokok murah memenuhi pasaran dan ia boleh dibeli di kedai-kedai di pusat bandar, pekan atau desa.

Perihal kesihatan penduduk amat mustahak untuk dipantau dan dijaga. Kekuatan ekonomi sesebuah negara bergantung dengan kekuatan sumber manusia. Jika ramai rakyat yang berpotensi dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi menghidap sakit seperti barah, jantung dan macam-macam lagi, sudah pasti pembangunan terbantut.

Apatah lagi apabila Sarawak kini sedang membangunkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi untuk keperluan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Belia di Sarawak wajar mengambil iktibar agar menjauhkan diri dari rokok.

Umpama menyedut racun.

Berbalik dengan isu kebanjiran rokok seludup di pasaran. Laporan media Internet mStar mengatakan pasaran rokok gelap telah melahirkan satu industri yang meraih keuntungan sehingga RM1 bilion setahun.

Laporan itu turut mengatakan ia juga menggagalkan usaha kerajaan menaikkan harga bahan berasas tembakau dan kempen anti-merokok dalam kalangan generasi muda merokok.

Kebanyakan mereka yang membeli rokok jenis ini rata-ratanya berasal daripada golongan berpendapatan rendah kerana ia boleh dibeli pada harga serendah RM2.50 untuk pek 20 batang sedangkan harga runcit bagi satu pek 20 batang rokok biasa dalam lingkungan RM6.40 dan RM9.30.

Pasaran gelap rokok kini secara perbandingan menguasai lebih sebatang daripada tiga batang rokok yang dijual di pasaran.

Menurut satu kajian rokok haram oleh Taylor Nelson Soffres yang ditauliahkan oleh pengilang utama rokok, hampir 38.7 peratus industri adalah haram.

Di rantau ini, Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai cukai tertinggi untuk rokok selepas Singapura.

Biar apa jua dakwaan atau kajian yang mengaitkan tabiat sukar berhenti merokok dengan pelbagai faktor, sebenarnya kejayaan usaha itu amat bergantung dengan kesedaran diri perokok itu sendiri.

Jika tidak ada niat untuk berhenti dan menahan nafsu daripada memegang ‘batang beracun’ itu, maka sukar bagi seseorang perokok berhenti. Dorongan yang kuat dari minda untuk berhenti merokok akan menjayakan usaha, asalkan bermula dengan niat.

Kempen sia-sia tanpa kesedaran.

Fakta tentang Nikotin terkandung dalam rokok.
 
* Komponen utama dalam rokok.
* Campuran air dan nikotin digunakan sebagai racun serangga sejak 1746, sebelum diasingkan daripada daun tembakau pada 1828.
* Mudah berkumpul dan bertindak dalam tisu saraf dan otak.
* Nikotin memasuki otak dalam tempoh 10 saat selepas menghisap rokok.
* Pendedahan berterusan terhadap Nikotin boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan terutama barah.
* Kira-kira 90 peratus kanser paru-paru diakibatkan rokok.

Posted in: Kesihatan, Sosial