Sarawak perlu teroka pelancongan bercirikan Islam.

Posted on February 12, 2012

0


SARAWAK mampu meningkatkan kemasukan pelawat jika memberi tumpuan terhadap perkembangan pesat pelancongan bercirikan Islam, selari dengan pertambahan penduduk Islam di seluruh dunia.

Pelancongan bercirikan Islam adalah satu konsep mudah untuk diketengahkan seperti memaparkan makanan halal, lokasi restoran halal, maklumat berkenaan masjid dan surau dan kebudayaan atau gaya hidup penduduk setempat bercirikan Islam.

Aktiviti mengetengahkan konsep pelancongan sedemikian juga dikatakan menerusi Pameran MATTA Islamik Selangor (SMITF) 2012 sebagai tidak menambahkan kos operasi.

Lantaran itu SMITF yang dipetik menerusi akhbar baru-baru ini mempersoalkan mengapa Lembaga Pelancongan Sarawak atau Sarawak Tourism Board (STB) tidak pernah mengambil bahagian dalam mempromosikan negeri ini khusus dalam bidang pelancongan bercirikan Islam walaupun penduduk Islam di Semenanjung Malaysia berada pada jumlah yang besar.

SMITF diadakan sejak 2007.

Memang benar, pelancongan bercirikan Islam mempunyai pelawat yang tinggi – contohnya Masjid Putrajaya. Masjid yang menampilkan keunikan seni bina Islam dengan pengaruh kebudayaan tempatan, menggamit perhatian para pelancong untuk masuk ke dalamnya.

Bukan sekadar pelancong Islam tempatan dan asing, malah pelawat dari Korea dan Jepun turut membanjiri masjid yang tersergam indah di tengah-tengah pusat pentadbiran negara di Putra Jaya itu.

Produk pelancongan Islam, Masjid Bahagian Kuching.

 

Di Sarawak, penekanan industri pelancongan, seperti yang sering dimaklumkan STB atau Kementerian Pelancongan, ialah terhadap eko-pelancongan. Ia memberi tumpuan terhadap kehijauan dan keindahan alam semula jadi dan kebudayaan penduduk setempat.

Strategi itu telah menjadikan Sarawak sebagai antara destinasi pelancongan popular.

Mengenai warisan sejarah bercirikan Islam, memang ada produk sedemikian yang boleh digilap di pentas industri pelancongan. Misalnya, Masjid Bahagian Kuching dan Masjid Bandar Kuching (masjid tambi). Dua masjid tersebut menyimpan nilai sejarah tersendiri dan mampu menarik pelancong.

Bersejarah, Masjid India Kuching.

Masjid sebagai destinasi pelancongan merupakan satu produk yang boleh dibanggakan dengan keindahan binaannya, mimbar, mihrab, hiasan dalaman, tempat wudhu’, kemerduan suara muazzin, dan juga aktiviti yang dilaksanakan di dalam masjid seperti solat jemaah, aktiviti fardhu ain dan fardhu kifayah, kelas mengaji dan sebagainya.

Selain menjadikan masjid sebagai produk pelancongan Islam, kita juga boleh memperkenalkan budaya dan adat resam yang bersalingkait dengan Islam. Malah, produk pelancongan yang berasaskan aktiviti dan budaya yang melingkungi masyarakat Islam di sini, merupakan produk pelancongan yang akan kekal dalam fikiran pelancong.

Mengenali Malaysia bukan sahaja melalui pemandangan lanskapnya malahan budaya dan masyarakatnya.

Aktiviti masyarakat Islam yang mempunyai potensi yang besar untuk dijadikan sebagai produk pelancongan Islam ialah majlis perkahwinan, majlis khatan, kenduri kendara yang kecil atau besar, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan AidilAdha, majlis korban, khatam al-Quran, majlis Aqiqah, majlis berbuka puasa dan bersahur, sambutan Maulidur Rasul, tadarus al-Quran dan banyak lagi.

SMITF 2012 turut menyatakan potensi di Selangor saja sudah besar dari segi perkiraan pelancong domestik dan adalah sangat merugikan jika Sarawak hanya menumpukan promosi pelancongan di luar negara sedangkan potensi pasaran dalam negara belum diterokai sepenuhnya.

Negara bukan Islam seperti China dan Korea Selatan yang turut serta dalam SMITF 2012 adalah antara contoh terbaik sebagai pengiktirafan kemampuan sektor pelancongan bercirikan Islam mampu berkembang maju berdasarkan unjuran penduduk Islam mencecah 1.8 bilion.

Posted in: Pelancongan, Sosial