Sibu bukan bandar mati dan Whitney Houston mati.

Posted on February 12, 2012

0


Ikon Bandar SibuIstilah ‘mati’ ialah satu perkataan untuk menggambarkan sesuatu yang tidak bernyawa dan bernadi – tidak lagi mempunyai interaksi dengan alam sekeliling. Itu pengertian mudah tentang ‘mati’.

Terbaca dalam sebuah akhbar di Sarawak baru-baru ini mengenai kisah Bandar Sibu yang terletak di wilayah tengah Bumi Kenyalang dikatakan ‘mati’. Mati dari segi pembangunan ekonomi dan tidak lagi akan berkembang ke arah potensi mencapai sebuah bandar raya seperti Bandar Raya Kuching dan Bandar Raya Miri.

Sebahagian Bandar Sibu

Apa motif pihak-pihak tersebut sehingga menyifatkan Sibu sebagai sebuah bandar mati? Apakah ini motif politik terutama ketika ini angin sepoi-sepoi berubah semakin kuat yang membawa perkhabaran bahawa pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan dalam tahun ini?

Apabila berjalan-jalan ke Sibu, bandar yang baru-baru ini menggemparkan penduduk Sarawak dengan insiden pembunuhan empat sekeluarga dan kes berasingan seorang ahli perniagaan ditembak di tempat awam, didapati kegiatan ekonomi berjalan seperti biasa. Premis-premis perniagaan dibuka seperti biasa, ramai orang menjalankan urus-niaga dan di jeti bot ekspres masih ramai orang seperti dahulu.

Itu pendapat orang biasa yang bukan pakar dalam bidang ekonomi. Apabila kegiatan urus-niaga di premis-premis perniagaan masih berjalan seperti biasa, itu maknanya ekonomi masih ‘okay’.

Lainlah seperti pemergian super star Whitney Houston yang dilaporkan media antarabangsa meninggal dunia pada Sabtu. Itu baharulah dinamakan mati! Penyanyi berkenaan tidak lagi bernyawa dan tidak mungkin akan hidup kembali.

Whitney Houston

Houston terkenal dengan lagu-lagu seperti “How Will I know you,” “Saving All My Love for You” dan “I Will Always Love You.” Beliau juga telah memenangi beberapa anugerah Grammy.

Tetapi Bandar Sibu tidak begitu. Sibu masih aktif aktiviti ekonominya.

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu Sibu merupakan bandar yang akan mengalami pertumbuhan paling cepat dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi.

Sibu terletak tidak jauh dari lingkungan radar pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Ia bakal menerima tempias yang hebat apabila Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah, muncul sebagai hab halal dan industri farmaseutikal.

Apabila Mukah membangun, bandar Sibu akan berperanan sebagai sebuah pusat kewangan dan pendidikan. Malah, apabila Bintangor dan Sarikei berkembang sebagai kawasan pengeluar produk pertanian seperti sayur dan nenas, Sibu tidak akan sunyi dari kegiatan ekonomi.

Dakwaan yang mengatakan Sibu sebagai bandar mati cuma sekadar kenyataan picisan pihak tertentu. Malah, ia tidak masuk akal memandangkan kerajaan giat melaksanakan pembangunan di seluruh Sarawak. Mana mungkin sesebuah kawasan yang sudah membangun dibiarkan mundur.

Sebuah laman blog mengenai pelancongan mengakui Sibu merupakan bandar yang agak ‘happening’. Menurut penulis blog itu, bandar yang sebahagian besarnya didiami oleh kaum Cina ini agak unik.

Uniknya bandar Sibu kerana anda boleh melihat peniaga-peniaga Melayu menjual kuih-muih bersebelahan dengan peniaga makanan/daging babi di pasar malam setiap hari di bandar Sibu. Dan lebih uniknya, papan tanda bahasa Cina termasuk papan tanda jalan raya boleh didapati di mana-mana seolah-olah anda berada di negara China.