Barisan Nasional bukan auta!

Posted on February 14, 2012

0


KALI ini biarlah artikel di blog ini bagai mempromosikan Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ke-13.

Semua projek yang dijanjikan kerajaan pasti akan siap menjelang pilihan raya. Itu satu jaminan untuk rakyat atas kesetiaan mereka mengundi Barisan Nasional sehingga berjaya membentuk kerajaan persekutuan menerusi pilihan raya 2008.

Pilihan raya umum kali ini dikatakan lebih sengit dan Barisan Nasional sedaya upaya menyelesaikan segala permasalahan dan isu yang mampu menggugat mereka ke arah kemenangan.

Projek-projek di Sarawak yang dijanjikan menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada April 2011, menjadi keutamaan agar pihak tertentu tidak mempunyai modal utuh untuk diperkatakan di khayalak.

Sebagai bukti kebenaran janji-janji pilihan raya ditunaikan, semua 312 projek kemudahan infrastruktur membabitkan peruntukan RM2.235 bilion yang dijanjikan Barisan Nasional untuk Sarawak sudah dilaksanakan.

Daripada jumlah itu, 245 projek dengan kos RM213.67 juta sudah siap dibina mengikut jadual dengan baki masih dalam pelaksanaan.

Sebanyak 40 lagi projek dengan kos RM1.3 bilion yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melakukan tinjauan mesra ke negeri ini tahun lalu rancak dilaksanakan.

Baki 27 lagi projek infrastruktur dan kemudahan asas membabitkan peruntukan RM709.66 juta akan dimulakan tidak lama lagi.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April 2011, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan negeri dengan penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri melebihi dua pertiga majoriti.

Menjelang pilihan raya tersebut, Barisan Nasional dikatakan bakal menghadapi saingan sengit daripada parti-parti pembangkang merangkumi PKR, DAP, SNAP, PAS dan calon Bebas.

Bagaimanapun, kepentingan Barisan Nasional dalam perjuangan memajukan Sarawak di mata rakyat terbukti sekali lagi dengan kemenangan itu, meskipun dalam masa yang sama SUPP, sebuah parti komponen Barisan Nasional, terpaksa akur dengan kemerosotan sokongan hingga mereka kehilangan banyak kerusi di kawasan bandar.

Sentimen di kalangan rakyat yang masih memerlukan Barisan Nasional sebagai wadah utama perjuangan membangunkan negeri ini wajar ada kesinambungan dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Sarawak dan Sabah sering kali dikaitkan dengan istilah ‘deposit tetap’ Barisan Nasional apabila dua negeri ini menyumbang kerusi Parlimen yang banyak dalam pilihan raya umum yang sudah-sudah.

Malah, dengar cerita, sentimen di kalangan rakyat terhadap Barisan Nasional di dua negeri ini menjadi antara kayu pengukur bagi Perdana Menteri menentukan tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum diadakan.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. Dua daripadanya – Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Sibu dimenangi DAP.

Pemimpin Barisan Nasional, pada masa ini amat berharap agar pengundi Cina di bandar memberi peluang kepada mereka membuktikan peluang untuk maju hanya ada dengan memberi sokongan terhadap Barisan Nasional.

Itu merupakan satu cabaran paling besar perlu ditempuhi, terutama SUPP, menjelang pilihan raya umum kelak.

Semoga Barisan Nasional maju jaya pada pilihan raya umum kelak!