Utamakan sumber dari Sarawak untuk KR1M.

Posted on February 14, 2012

0


PENGUSAHA industri kecil dan sederhana (IKS) di Sarawak wajar diberi peluang menjadi pembekal terhadap Kedai Rakyat 1Malaysia yang juga dikenali dengan nama KR1M.

Pembabitan mereka dapat memberi peluang perniagaan dan secara tidak langsung mampu mengurangkan harga barangan yang dibekal di kedai terbabit.

Paling mustahak, pengguna akan menikmati harga berpatutan apabila kos pengangkutan dapat dikurangkan dengan memperolehi barangan daripada IKS tempatan. Atau dengan kata lain, lebih kos efektif.

Kriteria itu nampaknya, syukur, diberi keutamaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam persediaan membuka KR1M di Sarawak dan Sabah. Dengar kata, selewat-lewatnya April 2012 sudah ada kedai seumpama itu di negeri ini.

KR1M akan menjual 250 jenis produk tetapi tidak semua akan datang daripada Semenanjung Malaysia. Itu jaminan Timbalan Menteri PDNKK, Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini.

Harga barangan yang dijual di kedai berkenaan akan sentiasa lebih rendah berbanding harga barangan di kedai-kedai biasa.

Kewujudan KR1M bertujuan untuk membantu meringankan bebanan rakyat di kawasan bandar yang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.

Melalui KR1M, diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak dalam mengurangkan perbelanjaan harian warga kota.

Selain itu juga, tujuan KR1M adalah untuk memastikan yang harga barang dapat diselia dengan mudah bagi memastikan harga yang ditawarkan kepada pengguna adalah relevan dan tidak membebankan rakyat.

Kewujudan KR1M ini memberikan banyak manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Antara kebaikan KR1M adalah barangan yang dijual adalah lebih murah berbanding harga pasaran biasa. Kualiti barangan yang dijual juga setanding dengan jenis barangan sama yang dijual dengan harga yang lebih tinggi di tempat lain.

Melalui KR1M ini, rakyat dapat membeli barangan yang berkualiti pada harga yang lebih rendah.

Sebelum ini, Rohani memberitahu kementerian menetapkan sasaran untuk mewujudkan 85 buah KR1M di seluruh negara sebelum akhir 2012 dan sehingga kini sebanyak 25 buah dibuka.

Katanya, sasaran ini bagaimanapun tidak melibatkan penubuhan kedai itu di Sabah dan Sarawak memandangkan pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad, tidak mempunyai rangkaian peruncitan di kedua-dua negeri berkenaan.

Ketiadaan rangkaian ini yang menyebabkan kementerian mengambil langkah membenarkan peruncit-peruncit yang berminat di kedua-dua buah negeri ini menjual produk KR1M sebagai langkah segera sebelum kedai sebenar dapat ditubuhkan.

“Kita tak akan dapat KR1M (dalam jangkamasa pendek) tetapi kita ada kedai untuk produk KR1M di Sabah dan Sarawak. Yang penting adalah produk berkenaan,” katanya.