Lagi mengenai potensi Sibu yang didakwa bandar mati.

Posted on February 15, 2012

0


SIBU berpotensi untuk lebih berkembang sebagai sebuah bandar besar dengan kedudukannya di dalam lingkungan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Ini diakui oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang merupakan arkitek utama dalam merancang pertumbuhan ekonomi atau lebih tepat pencetus ilham dalam pelaksanaan SCORE.

Ia merupakan rancangan ekonomi yang begitu hebat dan dijangka mampu melonjakkan pendapatan negeri ini ke tahap yang dipanggil berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Abdul Taib memberitahu, rancangan pembangunan wilayah tengah untuk tempoh lima hingga tujuh tahun lagi, adalah merangkumi Sibu dan bandar-bandar dan pekan-pekan di sekitarnya seperti Mukah, Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis, Kanowit, Kapit dan Belaga.

Menurutnya, perpindahan golongan peniaga dan pekerja dari bandar tersebut ke bandar-bandar lain mewujudkan kegusaran di kalangan penduduk tempatan yang berpendapat bandar Sibu tidak akan berkembang lebih pesat lagi.

“Kerajaan negeri tidak akan membenarkan Sibu, bandar ketiga terbesar di Sarawak, dibazirkan menjadi bandar hantu,” kata Abdul Taib dalam satu majlis di Sibu, baru-baru ini.

Pembangunan di Sibu dan di kawasan sekitarnya adalah mustahak memandangkan ia saling berkaitan antara satu dengan yang lain.

SCORE setakat ini telah menarik pelaburan sekurang-kurangnya RM200 bilion yang diyakini beliau mampu mencecah RM300 bilion.

Pelaburan kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur di kawasan SCORE ialah RM20 bilion.

Baru-baru ini kedengaran suara sumbang yang mengatakan pembangunan bandar Sibu akan diabaikan seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar.

Mungkin dakwaan itu bertujuan menakutkan penduduk Sibu terutama dikatakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tahun ini.

Industri utama SCORE ialah aluminium, kaca, keluli, industri berasaskan minyak, perikanan dan akuakultur, kelapa sawit, ternakan, industri berasaskan perkayuan, kejuruteraan marin dan pelancongan.

Kawasan pertumbuhan utama merangkumi, Tanjung Manis, Mukah, Samalau, Baram dan Tunoh.

Teras utama SCORE ialah tenaga yang diperbaharui menerusi empangan-empangan termasuk Empangan Bakun. Tenaga turut datang dari sumber arang batu dan gas asli.