Cerita minda, getah dan koko.

Posted on February 16, 2012

0


MUNGKIN ramai yang beranggapan apabila membincangkan tentang prospek tanaman seperti getah, koko dan lada hitam ia cuma perlu berkisar dengan usaha basmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup golongan pekebun kecil.

Jika benar getah dan koko mempunyai prospek cerah, mengapa tidak diseru belia yang belum bekerja untuk mengusahakan sebagai mata pencarian utama mereka. Ini lebih baik berbanding golongan belia sekadar membelek-belek akhbar atau Internet mencari kerja kosong di sektor kerajaan.

Mereka berharap dapat kerja sebagai guru, pegawai, kerani dan kerja-kerja lain dalam pejabat. Mengapa tidak mereka dididik dan disuapkan cerita-cerita motivasi tinggi mulai dari sekolah tentang kejayaan seorang petani moden yang mampu meraih pendapatan tinggi.

Itu satu pemikiran yang wajar diterapkan ke dalam minda remaja sekarang.

Golongan lepasan ijazah sarjana muda semakin ramai sekarang berikutan dasar melebarkan peluang pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat – jika kewangan tidak mampu ada disediakan pinjaman, apatah lagi mereka yang berada.

Sektor kerajaan sahaja tidak memadai untuk menampung pertambahan bilangan graduan saban tahun. Bukan salah kerajaan jika mereka tidak ada kerja. Kerajaan sudah buka peluang agar belia menceburi pelbagai sektor.

Di Bumi Kenyalang, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merupakan antara usaha menyediakan peluang pekerjaan lebih banyak kepada golongan belia, terutama bagi mereka yang bijak mencari inisiatif dalam perniagaan dan mempunyai kemahiran sebagai pekerja industri.

Dalam pada itu, usaha meningkatkan taraf hidup kian rancak. Itu merupakan satu pelengkap terhadap usaha melaksanakan projek-projek ekonomi sejajar dengan hasrat menjadi negeri berpendapatan tinggi.

Ada segelintir pihak satu ketika dahulu menganggap getah sebagai tanaman yang tidak memiliki prospek cerah untuk dijadikan sumber pendapatan. Ternyata ia salah apabila dalam tahun lalu, harga getah mencecah RM15 sekilogram.

Menyedari hakikat ada “sinar di hujung terowong”, usaha digandakan bagi menggalakkan penanaman baru dan penanaman semula getah diadakan di seluruh negara dan Sarawak tidak ketinggalan.

Baru-baru ini Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukan RM67.5 juta bagi melaksanakan Program Tanam Semula Getah atas keluasan 5,000 hektar.

Program itu dilaksanakan di kawasan kebun getah tidak bermutu dan berhasil rendah dengan getah klon baru yang berupaya mendatangkan hasil lebih banyak.

Nah! Ini peluang bagi pekebun kecil untuk menggandakan pendapatan dan sebagai usaha keluar dari kepompong golongan berpendapatan rendah. Itu saranan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pekebun kecil juga disyorkan agar sentiasa peka dengan perkembangan teknologi terkini yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa. Pendek kata, golongan sasar wajar memanfaatkan segala program dilaksanakan kerajaan.

Tidak memadai dengan getah, kerajaan turut memperuntukkan RM17.8 juta pada tahun ini kepada Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk membangunkan 2,000 hektar kawasan baru tanaman koko dan RM8.4 juta untuk memulihkan 1,000 hektar kawasan tanaman koko yang kurang produktif dan terbiar. Jumlah itu turut merangkumi Sarawak.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok memberitahu peruntukan tersebut adalah bagi meningkatkan pengeluaran biji koko negara dan membantu memenuhi keperluan biji koko daripada pengisar-pengisar koko tempatan.

Kementerian tersebut juga melancarkan Dasar Industri Komoditi Negara (DIKN) bagi tempoh 2011 hingga 2020 yang menyediakan kerangka dasar dan pelan hala tuju pembangunan industri komoditi termasuk sektor koko.

Bagi sektor koko, DIKN menyasarkan penambahan 2,000 hektar kawasan baru tanaman koko setiap tahun agar kawasan tanaman koko meningkat daripada 20, 543 hektar pada 2011 kepada 40,000 hektar menjelang 2020.