Bangunkan pelancongan warisan di Sarawak.

Posted on February 17, 2012

0


MELAKA sebuah negeri yang begitu terkenal dengan pelancongan berkonsepkan warisan. Ia sebuah negeri yang menerima kemasukan pelawat yang amat tinggi. Populariti negeri tersebut lebih terserlah dengan sejarah Hang Tuah, zaman kesultanan melaka, penjajahan Portugis yang menggambarkan kejatuhan kuasa raja Melayu di tangan Barat.

Pelancongan warisan di Sarawak tidak kurang menarik jika dibangunkan dan dipromosikan. Banyak tempat, bangunan dan tugu yang menyimpan sejarah kewujudannya di Bumi Kenyalang yang mungkin berupaya menjadi tarikan pelancong.

Menyedari potensi itu, Jambatan Gantung Satok yang pernah menjadi nadi penghubung penduduk untuk merentasi Sungai Sarawak dan roboh pada tahun 2004, akan dibina semula, demikian menurut Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

NOSTALGIA ... Jambatan Gantung Satok sebelum roboh pada 2004.

Selepas siap dibina semula, jambatan 130 meter panjang itu yang pada asalnya menghubungkan penduduk Satok dan Matang, hanya sesuai dilalui pejalan kaki sahaja. Jambatan tersebut terletak bersebelahan dengan Jambatan Tun Abdul Rahman Ya’kub.

Kos pembinaan semula masih di peringkat perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya.

Itu antara perancangan untuk memajukan industri pelancongan di Sarawak.

Sejarah awal Sarawak adalah unik kerana ia bukan diperintah oleh empayar asing tetapi oleh sebuah keluarga, pemerintahan keluarga Brooke dari 1841-1941.

Apabila James Brooke tiba pada 1839, Kuching hanya terdiri daripada pondok-pondok kayu beratap nipah yang didirikan sepanjang Sungai Sarawak, kebanyakannya di sepanjang Bazaar Utama yang terdapat hari ini.

Semasa pemerintahan keluarga Brooke banyak bangunan mercu tanda dan warisan muncul, antaranya Rumah Biskop yang dibina pada 1849, Masjid Negeri Lama (1847), Rumah Kerajaan (1857) dan Katedral St. Thomas (1857).

Pemerintahan `Rajah Putih’ berakhir dengan kedatangan tentera Jepun pada malam sebelum Krismas pada 1941, tetapi yang pasti pusaka peninggalan Brooke memberikan Kuching keistimewaan tersendiri hingga ke hari ini.

ASTANA ... dulu kediaman Rajah Putih, kini TYT.

Pernah satu ketika dahulu Jejak Warisan diperkenalkan sebagai produk pelancongan di Kuching.

Jejak warisan ini bukan sahaja satu produk pelancongan malah untuk mempromosi, memahami, menghargai dan memulihara sejarah kaya Sarawak.

Jejak warisan itu yang digelar “Brooke Legacy Self Guided Tours” meliputi bangunan-bangunan yang memberi gambaran akan suasana semasa era Brooke, dan kesemuanya dalam jarak jalan kaki dalam presint sejarah itu di bahagian bandar lama kotaraya Kuching.

Jejak itu terbahagi kepada dua laluan, laluan pertama meliputi bahagian timur bandar lama Kuching sementara laluan kedua meliputi bahagian barat bandaraya itu.

Jejak laluan pertama bermula di Bangunan Mahkamah Lama Kuching, iaitu bangunan pentadbiran pertama dalam era Brooke dengan semua urusan pentadbiran di bawah bumbungnya. Kini ia merupakan Kompleks Pelancongan Sarawak, pembinaannya bermula pada pada 1868.

Laluan itu seterusnya sampai ke tugu granit setinggi enam meter menghadap Dermaga Kuching, yang didiri dan ditauliahkan pada 1924 sebagai penghormatan kepada Rajah kedua, Charles Brooke, kerana sumbangannya serta dedikasi beliau kepada negeri.

Di setiap sudut terdapat satu panel gangsa dengan patung-patung mewakili masyarakat Cina, Iban, Melayu dan Kayan, mewakili kepelbagaian etnik di Sarawak.

Bangunan Jepun, satu-satunya bangunan pentadbiran yang didirikan oleh tentera Jepun di Sarawak semasa Perang Dunia Kedua (WWII) juga terletak dalam laluan itu.

Satu lagi bangunan dalam laluan itu ialah Pavillion yang dibina oleh Jepun pada 1909. Ia berfungsi sebagai ibu pejabat propaganda Jepun tetapi selepas WWII ia diduduki oleh Jabatan Pendidikan sehingga 1970-an, sebelum ia diambilalih oleh Jabatan Kehakiman.

Disenaraikan sebagai bangunan bersejarah, ia dipulihara dengan baik dan kini digunakan oleh Jabatan Muzium untuk menempatkan Muzium Tekstil.

Sementara itu, selepas kebakaran besar pada 1884, yang memusnahkan kebanyakan bangunan antara Jalan Carpenter dan Bazaar Utama, `Round Tower’ merupakan bangunan pertama dibina selepas kejadian itu dan disiapkan dua tahun kemudian.

Walaupun pada permulaan ia digunakan sebagai dispensari, lazimnya dipercayai ia pada asalnya dibina sebagai pos kawalan dan, mungkin, juga sebagai kubu pertahanan bagi pentadbir-pentadbir Brooke kerana lokasi strategiknya di tebing Sungai Sarawak.

Laluan itu juga merentasi Sungai Sarawak, dengan pelawat boleh melintas sungai itu menggunakan tambang (bot), ke Astana yang hari ini merupakan kediaman rasmi TYT Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Disiapkan pada 1870 sebagai kediaman Rajah Kedua Charles Brooke, ia sebenarnya hadiah perkahwinan kepada isterinya, Ranee Margaret, dan keluarga Brooke menghuninya sehingga Sir Charles Vyner Brooke meninggalkan Sarawak selepas pencerobohan tentera Jepun.

Laluan pertama juga meliputi bangunan Pejabat Pos (1932), Kuil Guan Thian Siang Ti (1889), Kuil Kueh Seng Onn (1895), Kuil Tua Pek Kong (pre-1839), Fort Margherita (1879), Bangunan Sarawak Steamship (1930) dan Dataran Segiempat (1879).

Sementara itu, laluan kedua meliputi Pasar Lama (1924-1959), Masjid India (1876), Balai Bomba Lama (1917), Limbungan Brooke (1912), Stesen Keretapi Lama dan Depot Penyenggaraan (1907) dan Balai Polis Central (1930).

Posted in: Pelancongan, Sarawak