Bagai irama dan lagu, NCR dan pilihan raya tidak dapat dipisahkan.

Posted on February 19, 2012

0


BUKAN satu perkara baru jika di mana-mana, di kedai kopi dan laman sosial Internet, banyak pihak cuba memainkan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terutama menjelang pilihan raya. Sekarang ini sedang hangat diperkatakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tahun ini.

Tanpa buang masa lagi, ada pihak yang membangkitkan pelbagai isu berkaitan NCR. Ramai yang berpendapat golongan tersebut bukan ada keikhlasan dalam hati, cuma mereka ingin meraih undi agar dapat jadi wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan menggantikan Barisan Nasional.

Tidak apa, ini negara demokrasi, sesiapa pun, asal cukup syarat, bertanding dalam pilihan raya – ia terpulang kepada rakyat untuk menentukan siapa layak mewakili mereka dan melaksanakan kerja-kerja mentadbir urus negara.

NCR – amat dekat di hati rakyat terutama di kalangan penduduk di luar bandar. Tindakan memanipulasi dan memutar belitkan isu tanah ini dilakukan kerana ia merupakan harta pusaka yang diwarisi turun-temurun.

Segala tohmahan dan dakwaan tidak mematahkan semangat kerajaan negeri Sarawak untuk meneruskan agenda pembangunan, sekali gus memastikan tiada satu kaum pun terpinggir ke arah mencapai status Sarawak negeri maju.

GAMBAR HIASAN ... Kerja menyukat dan mengukur sempadan NCR giat dilaksanakan.

Sejak Julai 2010, kerajaan mengumumkan satu inisiatif baru untuk melaksanakan pengukuran NCR di Sarawak, namun ia sebenarnya bukan perkara baru kerana kerajaan telah melaksanakan kerja-kerja pengukuran dan survei terhadap NCR sejak 1968. Sejak tahun tersebut, kerajaan telah mengeluarkan surat hak milik tanah mengikut Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri.

Sepanjang tahun 2010, sebanyak 27 kawasan NCR seluas 21,286 hektar telah diluluskan untuk diukur dan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera mengikut Sekysen 6, Kanun Tanah Negeri. Rizab berkenaan membabitkan sejumlah 10,880 penuntut tanah NCR dari 16 kampung dan 68 rumah panjang.

Bagi tahun 2011 dan 2012, peruntukan sebanyak RM60 juta telah diluluskan bagi membolehkan lebih banyak kawasan NCR diukur di bawah inisiatif berkenaan.

Konsep Pembangunan Tanah NCR yang diilhamkan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah alternatif terbaik untuk membawa keluar masyarakat pribumi, khususnya pemilik tanah NCR daripada belenggu kemiskinan.

Ini kerana tanah adalah aset paling berharga dan mampu memberi pulangan lumayan serta boleh menyumbang ke arah peningkatan taraf hidup jika diusahakan secara moden dan sistematik.

Inisiatif pengukuran tanah NCR akan dilaksanakan secara berterusan untuk memenuhi permintaan serta menangani masalah yang dialami rakyat berhubung tanah NCR. Inisiatif itu juga diyakini dapat menyelesaikan kerisauan mahupun kerumitan berhubung tanah NCR.

Sebelum ini, Pehin Sri Abdul Taib menegaskan krajaan negeri tidak akan membiarkan manfaat ekonomi yang dibawa menerusi pembangunan tanah NCR dibayangi kontroversi.

LADANG SAWIT ... Pelaburan tanah yang mendatangkan hasil lumayan.

Kontroversi sedemikian hanya boleh diatasi dengan melihat undang-undang, khususnya dokumen atau buku yang ada kaitan dengan NCR bagi membolehkan penduduk pribumi menukar tanah mereka untuk menjadi entiti ekonomi moden.

“Tugas undang-undang adalah untuk memastikan beberapa idea kabur, yang wujud dalam masyarakat kita sendiri, yang merampas hak rakyat diterjemahkan kepada manfaat perniagaan dan ekonomi,” kata Pehin Sri Abdul Taib. 
 
Beliau yakin landskap luar bandar negeri ini akan berubah menjadi lebih menarik memandangkan pembangunan seumpama itu sudahpun terlaksana terdiri daripada hampir sejuta hektar ladang kelapa sawit dengan pengeluaran dua juta tan pada ketika ini.