Hutan dan balak sumber pendapatan Sarawak.

Posted on February 19, 2012

0


SEKTOR perhutanan dijangka terus menjadi penyumbang utama terhadap pembangunan ekonomi Sarawak.

Ia masih antara sumber utama pendapatan meskipun banyak kawasan sudah diteroka dan diusahakan dengan tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Saban tahun, lebih suku daripada pendapatan keseluruhan Sarawak datang dari sektor perhutanan dan ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi faedah rakyat.

Sektor perhutanan turut menyediakan banyak peluang pekerjaan. Bukan sahaja di kilang balak di bandar, malah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di luar bandar terutama di kawasan berdekatan kem pembalakan.

Industri perkayuan menyediakan 100,000 peluang pekerjaan sekali gus membawa perubahan kepada masyarakat di luar bandar.

Dengan adanya industri ini, banyak tempat di Sarawak boleh dihubungi menerusi pembinaan jalan dan jambatan serta tanggungjawab sosial yang dijalankan syarikat perhutanan berkenaan.

Sektor perhutanan terutama pembalakan memberi sumbangan besar menerusi pembayaran royalti dan levi. Setiap tahun sektor ini dengan mudah menyumbang lebih satu per empat daripada pendapatan negeri Sarawak.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, sehingga kini sektor perhutanan terus membantu meningkatkan status sosioekonomi rakyat di negeri ini dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Sektor perhutanan juga secara tidak langsung memberi sumbangan dalam mengubah taraf hidup penduduk luar bandar terutama menyediakan jalan perhubungan menerusi laluan balak yang memudahkan penduduk keluar dari penempatan mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, bahan api dan ubat.

Banyak juga kem balak di negeri ini meyediakan kemudahan asas perubatan dan pendidikan, bukan sahaja untuk pekerja mereka tetapi juga untuk dinikmati penduduk sekitar.

Sarawak masih mempunyai keluasan hutan kira-kira 70 peratus, dan ia perlu ditadbir-urus dengan baik.

Selain membantu memberikan pendapatan kepada negeri, keseimbangan alam semula jadi turut melindungi kita daripada kesan pemanasan global.

Sebelum ini kerajaan negeri Sarawak dikatakan turut merancang untuk mewujudkan estet penanaman hutan sehingga satu juta hektar menjelang tahun 2020.

Awang Tengah memberitahu lagi, Sarawak tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada hutan semula jadi yang hanya mampu mengeluarkan 9.2 juta meter padu kayu balak seperti yang disarankan oleh Organisasi Perdagangan Kayu Antarabangsa (ITTO).

Dengan adanya estet tanaman hutan, Sarawak dijangka dapat mengeluarkan 20 juta meter padu kayu balak.

Di sebalik menikmati pendapatan dari sektor perhutanan, tuduhan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan media dari Barat mengatakan Sarawak mendatangkan kemusnahan alam sekitar menerusi aktiviti pembalakan tidak terancang.

Tuduhan tetap dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab walaupun dunia mengakui 12 juta hektar kawasan tanah di Sarawak sebagai tempat yang kaya dengan kepelbagaian biologi.

Pengurusan hutan mapan diberi perhatian serius sejak tahun 1950-an lagi apabila kerajaan negeri Sarawak meluluskan dua ordinan iaitu Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1957 dan Ordinan Taman Negara, 1958.