Sudahkah anda merasa hangat bahang pilihan raya?

Posted on February 21, 2012

0


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) merupakan topik utama perbualan dan perbincangan orang di Malaysia pada masa kini. Pilihan Raya Umum perlu diadakan dalam tempoh lima tahun selepas pilihan raya sebelumnya diadakan.

Kali terakhir pilihan raya diadakan ialah pada Mac 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional kekal sebagai pemerintah meskipun tidak memperoleh majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.

Tahun 2012 merupakan tahun keempat selepas pilihan raya umum yang terakhir diadakan. Lantas orang ramai sini sana, terutama yang di bandar, menyertai permainan teka-teki tarikh pilihan raya. Bila pilihan raya, dan bila pilihan raya?

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional, Datuk Ahmad Maslan memberitahu secara tradisi, pilihan raya umum diadakan sebelum memasuki tahun kelima penggal berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan membubarkan parlimen sehingga merasakan Barisan Nasional akan menang dan menang besar.

Bila pilihan raya hendak diadakan? Mac, April atau Jun tahun ini? Mac tidak mungkin sebab persidangan Dewan Rakyat akan bermula dalam bulan tersebut dan sudah disahkan Yang DiPertuan Agong akan merasmikannya kelak.

Nampaknya kita cuma bermain dengan teka-teki. Najib tidak akan memberitahu secara jelas bila, sekadar hanya meminta semua jentera Barisan Nasional siap sedia untuk saat itu.

Di Sarawak sejak seminggu lepas akhbar-akhbar menyajikan berita-berita tentang apa yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional terhadap rakyat.

Ya, rakyat berhak tahu apa yang dilakukan kerajaan adalah demi manfaat mereka. Rakyat juga wajar mengetahui apakah bentuk rancangan kerajaan dalam masa beberapa tahun lagi – ke mana hala tuju negara pada masa depan.

Berlandaskan penjelasan dan penerangan itu, diharapkan pengundi dapat membuat pertimbangan yang bijak ketika tiba hari mengundi kelak.

Masa depan negara terletak di tangan pengundi dan apabila tiba pilihan raya, itu bermakna kuasa telah dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan parti manakah yang layak mentadbir negara untuk tempoh lima tahun lagi.

Sarawak baru sahaja mengadakan pilihan raya negeri ke-10 pada April 2011, dan rakyat telah memilih Barisan Nasional sekali lagi menjadi kerajaan negeri.

Sebelum pilihan raya tersebut diadakan, parti-parti lain bermain dengan psikologi – cuba mempengaruhi rakyat agar mengundi mereka. Tetapi Barisan Nasional tetap jadi pilihan majoriti pengundi di Sarawak meskipun parti-parti lain menaruh keyakinan di kalangan rakyat akan berlaku tsunami politik – lanjutan apa yang dikecapi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Bagaimanapun Barisan Nasional tidak berdiam diri dan berpeluk tubuh di Sarawak apabila menyaksikan sokongan rakyat terhadap mereka masih kukuh jika diteliti dari keputusan pilihan raya negeri 2011.

Di kerusi-kerusi bandar, mereka wajar menyelami apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati kaum Cina hingga memilih parti-parti lain.

Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen. Barisan Nasional menguasai 29 kerusi. Dua daripadanya dikuasai Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Sibu.