Kota Samarahan dah banyak berubah.

Posted on February 23, 2012

0


DALAM sekitar hujung tahun 1990-an jumlah lori-lori yang bekerja di kawasan-kawasan pembinaan di sepanjang Jalan Dato Mohammad Musa kian meningkat. Lori-lori besar itu mengangkut bahan-bahan binaan seperti tanah, batu dan besi keluli.

Hingga ada yang menggelar jalan yang menuju ke Kota Samarahan itu sebagai jalan lori kerana hampir selang setengah minit akan nampak atau berselisih dengan lori. Timbul juga rasa ngeri apabila teringat kemalangan yang meragut nyawa membabitkan lori dan pengguna jalan raya yang lain.

Kesibukan lori-lori tersebut mengangkut bahan-bahan binaan kini sudah menampakkan perubahan di Kota Samarahan. Dahulu di kiri-kanan jalan hanya semak-samun dan mengundang perasaan takut jika pada waktu malam.

Unimas ... mercu tanda pembangunan Kota Samarahan.

Kini toleh ke kiri ada taman perumahan, toleh ke kanan pun ada taman perumahan dan beberapa blok kedai. Kota Samarahan bukan lagi seperti dahulu.

Sehingga awal 1980-an, Samarahan ialah daerah terpencil  – tiada siapa menaruh harapan terhadap kawasan yang pada asalnya dikenali sebagai Muara Tuang.

Kota Samarahan dilabelkan pemimpin-pemimpin sebagai kota ilmu. Ia menempatkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Perguruan Tun Abdul Razak, Institut Latihan Perindustrian dan lain-lain.

UiTM ... Samarahan diberi jolokan sebagai kota ilmu.

Penempatan deretan institusi pendidikan telah menjadi pemangkin terhadap pembangunan pesat Samarahan. Pekan kecil telah bertukar menjadi bandar.

Perancangan bijak, wawasan jitu dan impian tinggi telah menukar wajah Kota Samarahan dan perlahan-lahan meninggalkan status daerah terpencil.

Pembangunan di Kota Samarahan bermula apabila ia dinaiktaraf menjadi sebuah daerah penuh pada 1983.

Dengan keluasan 407.08 kilometer persegi, Samarahan yang kini memiliki populasi lebih 50,000 orang ia merupakan bahagian kelapan di Sarawak dengan Asajaya, Serian dan Simunjan diletak sebagai daerah penuh.

Kini Samarahan meniti fasa baru dalam pembangunan. Deretan bangunan dan premis komersial diwujudkan bagi melengkapi keperluan lebih 10,000 orang pelajar di pelbagai institusi pendidikan tinggi.

Penduduknya bertambah dengan begitu ketara dengan mereka yang dahulunya menjadikan Kuching sebagai lokasi migrasi, kini mereka menjadikan Kota Samarahan sebagai tempat tinggal. Kawasan perumahan seperti Desa Ilmu dan Taman Riveria sudah meriah dengan hampir setiap unit rumah dihuni.

Desa Ilmu yang turut merangkumi premis komersial.

Tidak lama lagi penduduk Kota Samarahan akan mempunyai kompleks pasar raya besar The Summer yang kini masih dalam pembikinan. Sudah pasti ia merupakan intepretasi dari pembangunan dan pertambahan penduduk di situ saban tahun. 

Ternyata Kota Samarahan bukan lagi kota mati atau bandar persinggahan kusam seperti yang pernah dilabelkan. Kota Samarahan akan terus berkembang dan maju sebagai kota ilmu di Sarawak.