Hutan di Sarawak masih luas, orang asing saja menuduh.

Posted on February 26, 2012

1


 

GAJAH di depan mata tidak nampak, kuman di seberang laut kelihatan. Itu perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan sikap pihak asing yang mendakwa hutan di Sarawak sudah hampir habis ditebas.

Pihak terbabit dikatakan cuba mencari kesalahan negara lain sedangkan hutan di negara mereka sendiri tinggal sedikit, iaitu 10 peratus. Dakwaan terbabit disiarkan dalam laman web Huffington Post.

Program pemeliharaan alam sekitar di Sarawak usah diragui oleh pihak asing. Sarawak diiktiraf dari segi pengurusan sumber semula jadi termasuk hutan secara mampan – termasuk program perladangan hutan.

Hasilnya, sehingga kini lebih 80 peratus daripada 12.4 juta hektar hutan di Sarawak belum ditebang.

Kemusnahan yang dikatakan pihak asing ialah imej yang dilihat menerusi rakaman satelit. Kawasan tersebut ditebang untuk perladangan kelapa sawit dan penanaman semula hutan.

Ini bertentangan Utusan Sarawak (26 Feb. 2012) yang melaporkan sasaran kerajaan dalam memastikan kelestarian hutan terus dijaga.

Laporan tersebut memberitahu, Sarawak menyasarkan untuk mewujudkan kawasan hutan simpan kekal enam juta hektar dengan sejuta hektar lagi diperuntukkan bagi kawasan terlindung sepenuhnya (TPA) menjelang 2020.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu kerajaan negeri Sarawak yakin sasaran itu dapat dicapai.

Amalan perhutanan sistematik serta pengurusan hutan secara lestari telah diamalkan di Sarawak sejak 90 tahun lalu dengan penubuhan Jabatan Hutan serta Dasar Perhutanan sejak 1954 dengan menitikberatkan aspek-aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Malangnya, masyarakat dunia terutama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tidak menyedari tentang dasar ini yang telah wujud sekian lama dan hanya tahu menggembar-gemburkan isu-isu berkaitan alam sekitar.

Kerajaan negeri Sarawak turut mempelawa International Tropical Timber Organisation (ITTO) pada tahun 1991 untuk membuat kajian dan perbincangan bagi memantapkan sistem pengurusan hutan.

Hasil kajian yang dijalankan ITTO menunjukkan Sarawak antara negeri yang mempunyai pengurusan hutan terbaik berbanding negara lain.

Sektor hutan, terutama pembalakan, masih merupakan antara penyumbang utama terhadap pendapatan Sarawak. Bersandarkan fakta tersebut, kerajaan berusaha mengukuhkan lagi produk perkayuan agar terus mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

Industri perkayuan dan pembalakan penyumbang pendapatan Sarawak.