Setahun menghilang Pesta Kebudayaan Borneo diadakan semula Julai 2012.

Posted on February 26, 2012

0


PESTA Kebudayaan Borneo (BCF) yang dahulunya antara acara tahunan menjadi penyeri bandar Sibu – wilayah tengah negeri Sarawak yang dijadikan tempat menghimpunkan kekayaan kebudayaan dan adat-resam.

Pada tahun lepas, 2011, BCF tidak diadakan seperti tahun-tahun yang sudah. Ada yang mengatakan punca ia tidak diadakan sebab pemimpin SUPP dari kawasan tersebut kecewa dengan sokongan merosot kaum Cina menerusi pilihan raya negeri. SUPP kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, April 2011.

Bagaimanapun, semua harus akur bahawa BCF merupakan satu acara kesenian dan kebudayaan yang wajar dikekalkan demi membantu industri pelancongan di Sarawak berkembang.

Ikon Bandar Sibu ... Wisma Sanyan.

Ya, BCF akan kembali lagi mulai 6 hingga 15 Julai 2012 – selepas setahun tidak dianjurkan. Bertemakan ‘Keindahan Dalam Kepelbagaian Etnik’, ia dianjurkan antara lain, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS).

BCF telah dianjurkan sejak lebih 10 tahun lalu dan menjadi salah satu daya tarikan pelancongan ke Sibu.

Sejak itu, BCF menjadi acara utama setiap tahun di Sibu sebelum dimasukkan dalam kalendar pelancongan yang menjadi agenda utama pelancongan negeri.

Gambar fail ... BCF yang sering mendapat sambutan pengunjung.

Penganjuran BCF juga banyak membantu membangunkan industri perniagaan kecil terutamanya melibatkan penghasilan produk desa yang terdapat di Sibu.

 Persiapan sedang dibuat untuk menganjurkan BCF 2012 di dataran bandar Sibu yang akan berlangsung selama 10 hari.

Pesta itu adalah pameran pelancongan terbesar bagi wilayah tengah Sarawak yang mempamerkan kebudayaan tradisi suku kaum seperti Cina, Dayak (Iban dan Orang Ulu) dan Melayu-Melanau.

Timbalan Pengerusi MPS, Daniel Ngieng Kiong Ann berkata untuk edisi 2012, usaha akan digandakan bagi memastikan penganjurannya lebih berjaya berbanding sebelum ini.

“Kami masih berusaha untuk mendapatkan lebih banyak aktiviti kebudayaan, termasuk menyelitkan kumpulan kebudayaan dari luar negara. Seperti biasa terdapat Pameran dan Perdagangan Sibu juga penyertaan baru, selain persembahan kebudayaan,” katanya.

Posted in: Pelancongan, Sarawak