Lagi tentang rangka manusia dari Gua Niah. RM1.5 juta untuk bawa pulang Sarawak.

Posted on February 29, 2012

0


ORANG kata, tidak mudah dan tidak murah untuk mengekalkan warisan yang bernilai. Ia memerlukan usaha gigih dan kos tinggi bagi merealisasikannya.

Sebelum ini ada dipaparkan tentang kisah rangka manusia di Gua Niah yang dibawa keluar negara untuk tujuan kajian arkeologi.

Sirih pulang ke gagang. Itu yang cuba diusahakan oleh kerajaan tentang khazanah arkeologi yang terdapat di Gua Niah.

Khabarnya, kerajaan negeri membelanjakan RM1.5 juta bagi menjejaki dan membawa pulang lebih 200 rangka manusia purba ditemui di Gua Niah yang kini masih ditempatkan di Universiti Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Jumlah itu termasuk kos penerbangan petugas Muzium Sarawak ke Las Vegas selain kos penyediaan tempat khusus di Muzium Petroleum Miri, lokasi rangka itu ditempatkan kelak.

Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan memberitahu, proses membawa pulang rangka manusia purba itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun berikutan prosesnya agak rumit kerana ia membabitkan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Kita harus mematuhi setiap prosedur tertentu ditetapkan dan mengambil masa. Namun, kita akan melakukan yang terbaik untuk membawa pulang semua rangka manusia berkenaan,” jelas beliau dipetik menerusi akhbar baru-baru ini.

Ada lebih 200 rangka manusia purba ditemui di pintu barat Gua Niah antara tahun 1957 dan 1967 dan daripada jumlah itu, 122 dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada untuk dijadikan bahan penyelidikan oleh pakar arkeologi Richard dan Sheilagh Brooks.

Meskipun mereka sudah menyediakan beberapa laporan mengenai penemuan rangka manusia itu, namun sehingga kini tidak ada satu diterbitkan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Warisan Negara, Profesor Emeritus Datin Paduka Zuraina Majis mengesan Brooks pada 2004, namun penyelidikan itu tidak diteruskan kerana beliau sudah uzur.

Sehubungan itu kerajaan negeri Sarawak pada Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo pada 27 hingga 31 Oktober tahun lepas mahu rangka manusia itu dibawa pulang ke Sarawak bagi membolehkan pakar arkeologi di sini menersukan kajian.

Ipoi Datan memberitahu lagi, Universiti Nevada juga mahu memastikan Muzium Sarawak menyediakan bilik kurator khas yang memenuhi standard pemeliharaan dan pengawetan ditetapkan.

Lokasi disyorkan ialah bahagian sayap kiri di Muzium Petroleum Sains Miri.

Posted in: Sarawak, Sosial