Taib: Jangan jual tanah walau tawaran lumayan.

Posted on March 3, 2012

0


SIBUK beberapa pihak mendakwa tanah mereka dirampas dan tanah mereka tidak diiktiraf sebagai NCR. Apatah lagi apabila dipercayai sekarang ialah masa menjelang pilihan raya umum – macam-macam cerita tentang tanah.

Apa yang saya baca menerusi sebuah akhbar (malas mahu menamakan) hari ini ialah Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menasihatkan orang ramai agar tidak menjual tanah mereka sembarangan.

Jangan hanya kerana ingin hidup mewah atau tidak dapat bersabar hidup sukar untuk seketika, tanah dijual.

“Saya berharap penduduk di sini akan berfikir panjang sebelum menjual tanah masing-masing anda tidak ada keperluan mendesak,” kata Pehin Sri Abdul Taib dipetik menerusi akhbar berkenaan.

Harga tanah, terutama di kawasan berpotensi untuk projek pembangunan dan komersial, dikatakan kian meningkat berikutan unjuran bandar Mukah bakal muncul sebagai antara bahagian kuasa ekonomi Sarawak.

Bahagian Mukah terlibat secara langsung dalam projek gergasi ekonomi Sarawak – Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Tanjung Manis akan dibangunkan sebagai hab halal, kelapa sawit semakin luas kawasan perladangannya, kilang pelebur aluminium Press Metal dan stesen janakuasa elektrik arang batu.

Itu semua antara aktiviti ekonomi yang merancakkan proses pembangunan Bahagian Mukah yang pada 1 Mac 2012 genap 10 tahun menjadi bahagian di Sarawak. Aktiviti ekonomi SCORE telah jelas menunjukkan perubahan landskap lembah Melanau itu.

Dahulu, Mukah hanya pekan kecil yang berstatus daerah dalam kawasan pentadbiran Bahagian Sibu. Aktiviti ekonomi yang utama ialah pemprosesan tepung sagu untuk dieksport ke luar negara serta kegunaan domestik.

Ia juga cuma terkenal dengan kelazatan umai (ikan mentah yang dihiris nipis dan diperah dengan jus limau) – menjadi simbolik terhadap kegiatan ekonomi penduduknya sebagai nelayan.

Itu penangan SCORE terhadap Mukah – harga tanah naik dan kepelbagaian aktiviti ekonomi.

Posted in: Ekonomi, Pembangunan