Inap desa Sarawak berpotensi untuk berkembang – raih RM1 juta pada 2011.

Posted on March 4, 2012

0


DAHULU program inap desa (home stay) tidak terkenal sangat di negara kita terutama di negeri Sarawak. Pelancong tidak ada pilihan selain menyewa bilik hotel apabila melancong ke sini. Pelancong kurang berpeluang untuk mengenal adat resam dan gaya hidup orang kampung.

Apatah lagi di Sarawak – kaum yang pelbagai sudah pasti menyajikan kelainan corak hidup untuk dirasai oleh pelancong terutama dari negara-negara lain. 

Program inap desa yang diwujudkan sejak tahun 1995 di negara ini mendapat sambutan di luar jangkaan daripada pengusaha dan pelancong. Sarawak juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menjayakan program inap desa memandangkan pulangan daripada program tersebut agak lumayan.

Rutin harian orang kampung merupakan elemen utama inap desa.

Pembukaan lebih banyak inap desa di negeri ini saban tahun dikatakan mampu menarik kehadiran pelancong yang datang ke sini dan membantu dalam meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Pengusaha inap desa di Sarawak dilaporkan oleh agensi berita Malaysia, Bernama, sebagai berjaya meraih pendapatan terkumpul berjumlah RM978,703.62 pada tahun 2011.

Jumlah itu dikatakan menunjukkan peningkata lebih 25 peratus berbanding RM780,952.36 pada tahun 2010.

Kementerian Pelancongan dalam laporan itu memberitahu 12,612 pelancong mengambil pakej inap desa di negeri ini pada tahun 2011, berbanding dengan 9,384 orang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Setakat ini sebanyak 409 pengusaha inap desa sudah didaftarkan kementerian tersebut di Sarawak.

Penginapan yang disediakan itu sama ada dalam bentuk rumah tradisional individu atau rumah panjang.

Pelancong asing ingin menimba pengetahuan tentang adat resam penduduk tempatan menerusi inap desa.

Sejak Sarawak memperkenalkan program inap desa sekitar lewat 90-an, sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga ramai pengusaha berminat membuka inap desa di tempat mereka.

Statistik diperolehi berdasarkan tahun 2009, di bahagian Kuching sahaja terdapat 11 buah inap desa dengan lebih 100 orang pengusaha yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia yang sentiasa menerima kunjungan pelancong saban hari.

Selain usaha untuk menggalakkan sektor pelancongan negeri, program inap desa tersebut secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan pendapatan seharian penduduk kampung.

‘Ia bukan sahaja memberi faedah kepada pendapatan sektor pelancongan negeri malah pendapatan penduduk kampung juga bertambah dengan adanya program inap desa seperti ini.

Program inap desa sebenarnya memperdagangkan pengalaman kepada pelancong lebih-lebih lagi negeri ini merupakan destinasi pelancongan yang kaya dengan kebudayaan dan khazanah alamnya.

Pelancong diberi peluang merasakan sendiri pengalaman seperti membuat kuih tradisional, menaiki perahu tambang dan mempelajari kebudayaan penduduk kampung tempatan.

 

Ada pelancong asing yang ingin merasai sendiri pengalaman menjadi nelayan.

 

Program inap desa di Sarawak bukan hanya terdiri daripada kampung-kampung Melayu, malah kampung Melanau, rumah panjang kaum Iban, Bidayuh dan Kedayan juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Inap desa kampung kaum Melanau boleh didapati di bahagian Mukah, iaitu Kampung Senau, rumah panjang Kedayan di bahagian Miri manakala rumah panjang Anah Rais dan Kampung Benuk merupakan program inap desa cara hidup kaum Bidayuh.

Salah satu inap desa yang terkenal dan antara yang terlaris di bandar raya Kuching ialah Abas Homestay Kampung Panglima Seman Lama.

Semenjak pembukaannya pada tahun 2005, kebanyakan pelancong yang menginap di inap desa tersebut terdiri daripada pelancong asing, tetapi tidak kurangnya juga dengan pelancong tempatan dari Semenanjung Malaysia.

Inap desa merupakan sub sektor dalam industri pelancongan yang wajar dipertingkatkan potensinya. Seperti yang diperkatakan pada awal artikel ini, kepelbagaian kaum di Sarawak pastinya merupakan aset bernilai yang akan menarik kemasukan pelancong.

Ada di kalangan pelancongan asing yang bertandang ke Sarawak semata-mata ingin menyaksikan dengan mata mereka sendiri bagaimana corak kehidupan harian orang Iban – misalnya tinggal di rumah panjang dan mengerjakan padi huma.

Ataupun tinggal di perkampungan Melanau di Mukah dan mengikut tuan rumah turun ke laut untuk menangkap ikan.

Bukankah itu semua mendatangkang pengalaman pelancongan yang lebih realistik dan menarik?

Posted in: Pelancongan, Sarawak