Keputusan peperiksaan STPM 2011 bagi negeri Sarawak.

Posted on March 8, 2012

0


KEPUTUSAN peperiksaan STPM 2011 diumumkan di seluruh negara pada 7 Mac 2012.

Peperiksaan STPM merupakan peperiksaan pensijilan terbuka, iaitu sijil akan diberi kepada calon yang lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Seramai 6,017 calon telah menduduki peperiksaan STPM di Sarawak pada tahun 2011 berbanding dengan 5,615 calon pada tahun 2010.

Daripada jumlah ini, 5,714 orang merupakan calin sekolah menengah kebangsaan sementara 303 orang adalah calon persendirian.

Pada keseluruhannya seramai 5,196 orang calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada tahun 2011 berbanding dengan 5,192 calon tahun lepas.

Daripada jumlah calon tersebut, seramai 17 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran, 2,132 calon lulus penuh dalam empat mata pelajaran, 1,240 calon lulus penuh dalam tiga mata pelajaran, 960 calon lulus dalam dua mata pelajaran manakala 847 calon lulus dalam satu mata pelajaran.

Dari segi pencapaian individu pula, seramai 20 orang calon sekolah menengah kebangsaan negeri Sarawak berjaya mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 (maksimum) berbanding 13 orang pada tahun 2010 manakala seramai 948 orang mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding 870 orang pada tahun 2010.

Sementara itu, seramai 46,712 atau 92.19 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding 46,795 (92.5) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Mohd Noh Dalimin berkata, 12 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding lapan calon pada tahun sebelumnya.

Pada umumnya, prestasi calon tahun 2011 adalah sama dengan tahun 2010, di mana Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) adalah sama, iaitu 2.22, katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di Kuala Lumpur hari ini.

Pada tahun 2011, seramai 298 calon (0.59 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 343 calon (0.68) pada tahun sebelumnya.

Seramai 50,669 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Mohd Noh berkata, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar.

Katanya, bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 948 orang atau 12.64 peratus berbanding hanya 93 (6.14) pelajar luar bandar.

Katanya, bilangan calon bandar aliran Sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah 357 orang (14.2) berbanding hanya 11 (12.64) luar bandar manakala bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 591 (11.85) berbanding hanya 82 (5.75) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata, sekolah kerajaan menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu PNGK sekolah kerajaan pada tahun lalu ialah 2.29 berbanding 2.32 pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2011, sebanyak 52 buah sekolah mencapai PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 47 sekolah pada tahun sebelumnya dan 55 sekolah pada 2009.

Calon boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip <STPM Result> <No. Kad Pengenalan> dan hantar ke 15888 atau melayari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di www.mpm.edu.my.

Posted in: pendidikan