Terubuk: Ikan yang sinonim dengan Sarawak.

Posted on March 8, 2012

0


MUNGKIN tidak ramai yang tahu ikan terubuk yang dijual di Pasar Tamu Satok bukannya produk tempatan atau diperolehi nelayan Sarawak. Ia sebenarnya diimport dari India dan Myanmar dengan jumlah pengusaha yang menjual ikan terubuk kini berjumlah 20 orang.

Pasar Tamu Satok - tempat jualan terubuk.

Terubuk tempatan sukar untuk diperolehi tetapi habitatnya adalah di Batang Lupar (Lingga dan Sebuyau dalam Bahagian Sri Aman), selain di Batang Saribas (Pusa, Beladin dan Maludam di Bahagian Betong) dan Batang Lassa (Teba’ang dan Daro di Bahagian Mukah).

Beza antara terubuk Sarawak dengan terubuk import ialah terubuk tempatan berkepala besar tetapi pendek manakala ikan import berkepala bulat dan panjang.

Orang kata, keistimewaan terubuk Sarawak lebih berlemak dan telurnya lebih besar.

Perbezaan juga dapat dilihat daripada segi kesegaran. Terubuk tempatan lebih sedap kerana segar sedangkan terubuk import terpaksa dibekukan terlebih dulu.

Terubuk import mempunyai bintik hitam di badan tetapi tiada pada terubuk sungai. Perbezaan terubuk tempatan dan import juga boleh dilihat pada harga.

Terubuk sungai lebih mahal berbanding terubuk import. Sekali imbas memang sukar mencari perbezaan terubuk sungai dan terubuk import.

Ada dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau Tenualosa macrura yang boleh dikenali dengan fizikalnya bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk.

Terubuk sungai Tenualosa toli mempunyai muncung atau mulut lebih besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini. Terubuk adalah ikan pelagic dalam keluarga Clupeidae. Penentuan jantina ikan terubuk hanya dapat dikenal pasti apabila ia menjangkau usia dua tahun dan bertelur.

Mengikut kajian Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Tenualosa Toli mula bertelur dari bulan September hingga Oktober dan berkurangan pada bulan November. Bagaimanapun, ikan terubuk banyak memasuki sungai dari bulan April hingga bulan Oktober.

Musim ikan terubuk bermula agak lambat tetapi pendek iaitu Jun hingga Oktober bagi kawasan Batang Lupar, manakala bagi Batang Lassa pula, musimnya berpanjangan sehingga enam bulan iaitu April hingga November. Faktor ini disebabkan perpindahan terubuk berbeza antara Batang Lupar dan Batang Lassa.

Terubuk jantan boleh mencapai ukuran panjang sehingga 12.8 hingga 34 sentimeter manakala betina ialah dari 14 hingga 46.2 sentimeter dan masing-masing mempunyai purata berat 178.2 gram dan 533.9 gram. 

Wajib beli.

Peniaga terubuk - Gambar hiasan.

Tidak sah rasanya kunjungan pelawat ke Bumi Kenyalang, kalau tidak membawa pulang ‘ole-ole’ ikan terubuk Sarawak, terutama terubuk masin dan telur terubuk masin, yang ada dengan banyaknya di Pasar Tamu Satok di Kuching.

Terubuk amat popular terutama di kalangan pelawat dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Brunei Darussalam, yang menjadikannya buah tangan wajib apabila berkunjung ke bumi kenyalang ini.

Populariti terubuk ini berkait rapat dengan hakikat ikan itu sudah lama pupus dari sungai di Semenanjung tetapi di Sarawak spesies ikan bertulang banyak itu masih boleh diperoleh terutama pada musim terubuk bertelur antara Jun hingga Oktober. 

Dahulu (1980-an) harga sekotak ikan terubuk masin seberat 20 kilogram dijual dengan harga RM75 saja, kini sudah naik sehingga antara RM150 hingga RM250 sekotak mengikut saiz ikan.

Cara memproses terubuk masin tidak sukar – dengan mengeluarkan ikan terubuk beku dari kotak dan terus merendam dalam air kira-kira dua minit, sebelum disiang dan dibersihkan.

 
Bagi yang bertelur, telur akan dikeluarkan untuk dijual secara berasingan. Selepas itu, ikan terubuk yang sudah dibersihkan akan diletakkan garam dan dipamer untuk dijual.
Berita Harian dipetik menerusi satu artikel memberitahu, telur terubuk import ia dijual dengan harga antara RM100 hingga RM200 sekilogram, berbanding telur terubuk tempatan dari Sarawak yang dijual dengan harga RM300 sekilogram.

Sepanjang Ramadan, terubuk bakar atau terubuk panggang yang cukup popular di kebanyakan bazar Ramadan di Sarawak juga sebenarnya terdiri daripada terubuk yang dibawa dari Myanmar dan India, bukannya terubuk Sarawak.


Berita Harian dipetik lagi:
 
Mohd Rus Hassan, 77, yang mengusahakan perniagaan ikan terubuk masin di Pasar Satok sejak lebih 10 tahun lalu pula berkata, terubuk tempatan banyak perbezaannya dengan terubuk import, terutama muncungnya yang panjang dan besar, manakala badannya kecil dan pendek.

“Kalau nak bezakan ikan terubuk masin Sarawak dengan import, tengok sisik dulu. Sisik terubuk Sarawak hidup dan boleh dibuka walaupun sudah diproses menjadi ikan masin, berbanding sisik terubuk import yang mati dan keras. Mulut ikan terubuk Sarawak juga lebih besar berbanding terubuk import dan apa yang lebih penting rasa terubuk Sarawak jauh lebih lemak dan manis berbanding import,” katanya yang menjual purata 3,000 ekor terubuk sehari.

Seorang pekerja di gerai menjual terubuk masin, Putradi Putit, 36, berkata mereka memproses sekitar 16 kotak terubuk setiap hari biasa dan pada Sabtu dan Ahad mereka perlu memproses sehingga 22 kotak ikan terubuk sehari. Setiap kotak mengandungi antara 60 ekor hingga 75 ekor ikan mengikut saiz.

“Kami kena gunakan pisau yang cukup tajam supaya kerja menyiang ikan lebih cepat dapat dilakukan. Kalau pisau cukup tajam kami boleh menyiang sehingga lebih 100 ekor ikan dalam sejam.

“Kebanyakan pelanggan yang membeli ikan terubuk masin pula terdiri daripada penduduk dari Semenanjung yang mahu membawa pulang ikan terubuk sebagai ‘ole-ole’. Kami perlu membungkusnya dengan kemas di dalam kotak supaya dapat dibawa menaiki pesawat,” katanya.