Kakitangan awam gembira gaji naik, SBPA dibatalkan.

Posted on March 9, 2012

0


GAJI saya naik kira-kira RM200 – itu antara kandungan SMS adik saya berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi menaikkan gaji kakitangan kerajaan 13 peratus.

Tidak perlu ditanya atau saya lihat reaksinya, kerana cukup dengan SMS itu menggambarkan betapa gembiranya dia tentang perkembangan terbaharu itu.

Dia berpangkat koperal dalam Tentera Darat Malaysia dan telah bertugas lebih 10 tahun di Semenanjung Malaysia. Gaji dia cukup makan – syukur ada kerja, itu kata-kata yang sering diungkapnya.

“Orang macam kami dihargai kerajaan dengan kenaikan gaji … Kira ok lah juga,” katanya dalam perbualan ringkas kami berdua semalam menerusi telefon.

Adik saya jenis orang tidak gemar bercakap hal politik kerana baginya dia ada tugas sendiri sebagai anggota pasukan bersenjata – politik itu menurutnya kerja orang politik. Maksud dia, belum tiba masa untuk dia bercakap hal politik kerana tugas dia cuma memangkah calon pilihannya ketika pilihan raya tiba.

Dia memberitahu saya dia amat bersyukur mendapat kenaikan gaji.

Dengan wang tambahan, katanya, dia dapat menyimpan wang lebih dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk simpanan masa tua.

Dia turut memuji tindakan kerajaan kerana prihatin dengan luahan penjawat awam yang tidak puas hati dengan SBPA.

SBPA dibatalkan, gaji diselaras dan elaun naik – itu yang diumumkan Datuk Seri Najib semalam.

Dalam pada itu dia turut berkata kenaikan gaji harus selaras dengan produktiviti jangan pula prestasi masih ditakuk lama.

Itu memang betul dan perlu difikirkan oleh penjawat awam. Semua sudah dewasa dan mampu menilai tanggungjawab masing-masing. Hendak dimarah tidak guna, sebab hampir semua diberi akal dan fikiran dalam menentukan tindak-tanduk.

Pelarasan gaji diumumkan Datuk Seri Najib semalam ialah:-

  • tiga belas peratus kenaikan gaji untuk kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana dari gred 1 hingga gred 54
  • sembilan peratus kenaikan untuk kumpulan gred utama C, B dan A
  • lapan peratus untuk gred turus 3 dan 2
  • tujuh peratus untuk gred turus satu dan ketus setiausaha negara.

Tentunya kebanyakan penjawat awam berpuas hati kesudahannya begini! Maksud saya SBPA dibatalkan dan SSM ditambahbaik.

Pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meleraikan keresahan mereka terutama berkaitan SBPA dan skim gaji.

Mereka juga menyifatkan pengumuman Perdana Menteri sebagai khabar gembira dan memberi keadilan kepada golongan bawahan.

Kronologi SBPA:-

  • 7 Oktober 2011 – SBPA diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan antara RM80 dan RM300
  • 8 Disember 2011 – Penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember bagi mereka membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam perkhidmatan lama
  • 21 Disember 2011 – CUEPACS meminta 1.4 juta ahlinya tidak menandatangani borang opsyen bagi pelaksanaan SBPA
  • 12 Januari 2012 – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan SBPA disemak semula
  • 13 Januari 2012 – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan satu pasukan petugas ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula pelaksanaan SBPA
  • 21 Januari 2012 – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan kepada pasukan petugas yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam untuk membuat kajian dan penambahbaikan SBPA
  • 27 Januari 2012 – CUEPACS mendesak lima perkara diberikan perhatian utama oleh pasukan petugas khas bagi mengkaji semula SBPA
  • 4 Februari 2012 – CUEPACS akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA untuk dipertimbangkan dalam semuakan semula skim baru itu
  • 8 Mac 2012 – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan SBPA dibatalkan dan kembali kepada SSM yang akan ditambahbaik.