Tatu wajarkah ia dikaitkan dengan samseng?

Posted on March 10, 2012

0


Tatu wajarkah ia dikaitkan dengan samseng?

Saya sendiri pun agak gentar apabila ternampak lelaki bertatu dan bertubuh sasa. Apatah lagi jika orang itu berambut perang serta berkumpulan – memang kelihatan samseng.

Tetapi itu sekadar mainan minda – walaupun sesetengah kes itu benar – dan wajar tidak diambil peduli sangat.

Kata orang, tatu itu seni. Seni yang memeritkan pada ketika proses pembikinannya. Ia merupakan seni diperturunkan oleh nenek moyang kita.

Sebab tatu itu seni, maka tidak hairan wanita pun sanggup menanggung kesakitan sementara untuk memperoleh ukiran tatu di badan.

Kamus Dewan mentafsirkan tatu dengan pengertian “tanda pada badan yang dibuat dengan melarik dan mencucuk dan memasukkan warna”.

Tatu yang indah lukisannya bukan sahaja mendapat minat di kalangan orang kita di Sarawak, tetapi turut disemadikan di badan artis-artis terkenal di Barat.

Itulah penangan tatu yang diwarisi dari zaman berzaman.

Ia satu warisan yang wajar dikekalkan dan mungkin ia membantu meletakkan Sarawak dalam peta para penggemar tatu di seluruh dunia.

Saya pasti Kementerian Pelancongan mempunyai pandangan sama terhadap potensi tatu dari sudut pelancongan.