Rumah selesa untuk penduduk terbabit Empangan Bengoh

Posted on March 15, 2012

0


ISU kediaman penduduk di beberapa kampung yang terbabit dalam pembinaan Empangan Bengoh tidak dibiarkan begitu sahaja apabila bulan April 2012 pembinaan rumah akan bermula.

Projek pembinaan 204 unit rumah tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM15 juta. Rumah terbabit hampir sama dengan Rumah Mesra Rakyat (RMR), tetapi ia lebih selesa dengan keluasan hampir 1,000 kaki persegi.

Ia dijangka siap akhir tahun ini atau awal tahun depan, kata Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg.

Projek pembinaan rumah yang telah lama dirancang itu sepatutnya bermula tahun lalu.

Bagaimanapun ia berhadapan beberapa masalah tidak dapat dielakkan menyebabkan ia hanya dapat direalisasikan seperti yang dirancang atau dapat disiapkan tahun ini juga.

Empangan Bengoh yang terletak di Jalan Puncak Borneo mampu membekalkan 130 juta mililiter tambahan air mentah kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang sebelum disalurkan kepada pengguna sekitar bahagian Kuching.

Projek itu yang mula dibina 2007 dan dikendalikan Naim Holding Berhad dibina dengan kos RM310 juta dengan ketinggian 63 meter dan 267 meter panjang dijangka menampung kapasiti 144 juta milimeter padu dan ditakungi permukaan air seluas lebih 10 kilometer persegi.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebelum ini memberi jaminan proses penakungan air di Empangan Bengoh akan bermula pada hujung tahun 2012.

Empangan yang mempunyai kawasan tadahan seluas 10.21 kilometer persegi itu, dijangka mampu menampung keperluan air bersih untuk hampir dua juta pengguna di sekitar bandar raya Kuching menjelang 2030.

Selain bandar raya Kuching, penduduk di Kota Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Tasik Biru-Lundu-Sematan, Tapah-Beratok-Siburan dan Serian bakal menikmati bekalan air bersih dari Bengoh.

Penduduk Kuching menggunakan sebanyak 590 juta liter sehari yang mana dapat ditampung dalam masa terdekat.

Dengan siapnya projek Empangan Bengoh, kerajaan yakin masalah kekurangan bekalan air di seluruh kawasan Kuching akan dapat diatasi berikutan kemampuan empangan itu mencapai pengeluaran air sehingga 2,047 juta liter sehari.

Pembinaan Empangan Bengoh merupakan projek yang mengambil kira kepentingan rakyat umum.

Harus diingat, rancangan pihak yang tidak bertanggungjawab ini hanya untuk menggagalkan projek ini. Sekiranya gagal, kita semua akan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal pada masa depan.

Pembinaan Empangan Bengoh turut melibatkan pemindahan 394 keluarga di kawasan sekitar Empangan Bengoh dari Kampung Semban, Rejoi, Pain Bojong dan Taba Sait.

Empangan Bengoh

Pengorbanan penduduk terbabit serta kebijaksanaan kerajaan dalam menghadapi kemungkinan masalah bekalan air bersih dalam tempoh akan datang, wajar mendapat pujian.

Satu kesilapan apabila orang ramai pada masa sekarang memandang remeh isu mendapatkan sumber mencukupi untuk dirawat bekalan air bersih dan masalah yang bakal dihadapi pada masa depan.

Menurut satu sumber, bekalan air dari Sungai Sarawak mencukupi untuk kegunaan populasi penduduk di Kuching dan kawasan sekitarnya pada tempoh 30 dan 100 tahun yang lepas.

Bagaimanapun, populasi Kuching kini bertambah berkali ganda dan tidak ramai menyedari tahap bekalan air dari Batu Kitang telah mencapai kapasiti optimum.

Sungai Bengoh dipilih sebagai lokasi paling sesuai berdasarkan kesesuaian bentuk muka bumi yang terletak di lembah gunung dan bukit.

Dinding empangan itu dibina menggunakan teknik ‘Roller Compacted Concrete’ (RCC) dan empangan setinggi 63.2 meter itu merupakan yang kedua seumpamanya seleps Empangan Kinta di Perak.

Objektif utama pembinaan Empangan Bengoh ialah menyediakan bekalan air dirawat kepada penduduk Kuching dan kawasan sekitarnya dengan kapasiti 144.1 milimeter padu.

Lantas ia akan menyediakan bekalan air yang memadai untuk tempoh tanpa hujan selama dua bulan. Sumber turut memberitahu permintaan terhadap bekalan air mentah dan dirawat hingga 2030 diunjur mencapai 1,945 juta liter sehari.