Hab halal Tanjung Manis terbesar?

Posted on March 16, 2012

0


SARAWAK merancang mewujudkan hab halal terbesar dan termaju di dunia di Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah.

Satu kawasan seluas 77,000 hektar di kawasan terbabit sudah dikenal pasti bagi hab halal itu yang akan mempunyai zon ekonomi hijau khususnya dan daya hubungan yang baik.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dipetik menerusi akhbar pada Jumaat berkata:

“Hab halal itu menawarkan destinasi pelaburan unggul bagi pelbagai sektor seperti pengilangan makanan haiwan ternakan dan baja, bioteknologi, akuakultur, pemprosesan makanan, penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta kulturkebunan”.

Awang Tengah bersama delegasi dari Sarawak kini sedang dalam lawatan ke India sempena Seminar Pelaburan dan Penjualan Kayu Sarawak dan Mesyuarat Perniagaan di Mumbai.

Gambar akhbar menunjukkan Datuk Amar Awang Tengah bersama delegasi ke India.

Pelabur India boleh terbabit dalam sebahagian daripada kegiatan yang dijalankan di hab itu yang menjadi sebahagian daripada penekanan ekonomi dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

SCORE ialah satu daripada koridor ekonomi wilayah di Malaysia.

Ia merupakan koridor yang terpantas perkembangannya dan setakat ini sudah menarik pelaburan bernilai AS$10 bilion.

SCORE akan memanfaatkan kekayaan sumber tenaga yang selama ini terbiar terutama tenaga hidro sehingga 20,000 megawatt sehingga tahun 2030, bagi membolehkan Sarawak menawarkan tarif elektrik lebih kompetitif.

Menerusi SCORE, kerajaan berusaha menarik pelaburan terutama dalam industri berasaskan tenaga seperti peleburan aluminium.

SCORE yang terletak di wilayah tengah Sarawak, dilancarkan pada 11 Feb 2008 dengan tujuan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak serta mempertingkatkan kualiti dan taraf kehidupan rakyat Sarawak.

SCORE menggambarkan pandangan jauh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 daripada segi per kapita KDNK, peluang pekerjaan dan pertumbuhan KDNK.

SCORE yang akan direalisasikan sepenuhnya pada 2030, ia dijangka dapat mempertingkatkan KDNK negeri itu lima kali ganda dan diunjurkan berkembang daripada RM23 bilion pada 2006 kepada RM118 bilion pada 2030.

Sebagai tambahan, pendapatan per kapita KDNK akan meningkat daripada RM23,193 kepada RM84,077 manakala bilangan peluang pekerjaan bertambah daripada 900,000 kepada 2.5 juta bagi tempoh sama.

Selain pertumbuhan ekonomi, Sarawak akan menyaksikan pembangunan pesat dalam infrastruktur seperti jalan raya dan prasarana awam, tambahan pula pelaksanaan SCORE akan menarik pelaburan ke Bumi Kenyalang selepas menerima jaminan pelaburan RM13 bilion.