HFMD: Terus dipantau ketika sekolah dibuka Isnin depan.

Posted on March 16, 2012

0


 

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana dan Bantuan Sarawak meningkatkan pemantauan bagi melihat kemungkinan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bertambah apabila sekolah dibuka semula Isnin ini.

Pengerusinya, Tan Sri Alfred Jabu, berkata sekalipun bilangan kes sepanjang cuti sekolah sekarang berkurangan, keadaan itu mungkin berubah apabila apabila sesi persekolahan bermula minggu depan.

Bercakap pada sidang media di KUCHING pada Jumaat, Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, jawatankuasa itu juga tidak dapat mengagak bila wabak akan berakhir sekalipun mengetahui trend penyebaran jangkitan.

“Cara paling baik untuk mencegah ialah dengan mengekalkan kebersihan kendiri terutama di kawasan di mana wabak mudah merebak,” katanya sambil menambah antara langkah yang boleh dilakukan ialah memeriksa kanak-kanak sebelum mereka memasuki kelas.

Beliau yang ditemui selepas pelancaran Program Pencegahan HFMD peringkat negeri, berkata setakat ini jawatankuasa itu sudah menerima komitmen berjumlah RM90,000 bagi membeli dan mengedarkan pembersih tangan di sekolah rendah.

Beliau berkata, tambahan RM20,000 itu ialah daripada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dugau Sagan (RM10,000) dan dua menteri muda iaitu Datuk Dr Stephen Rundi Utom serta Robert Lawson Chuat yang masing-masing bersetuju menyumbang RM5,000.

Sebelum ini, Jabu serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, masing-masing memperuntukkan RM10,000 untuk tujuan itu, manakala Jabatan Pelajaran pula bersetuju menyalurkan RM 30,000 dan baki RM20,000 daripada Majlis Keselamatan Negara cawangan Sarawak.
“Saya rasa dana yang kami kumpul ini akan mencecah RM100,000 menjelang minggu depan,” kata Jabu.

Pada majlis hari ini, dua syarikat swasta Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd dan Borneo Cyntex Sdn Bhd masing-masing menyumbangkan 600 botol pembersih tangan, sementara syarikat 3A Pharma Sdn Bhd pula menyumbangkan sarung tangan

Sementara itu, jumlah terkumpul kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak mencecah 3,029 selepas 59 lagi kes baru dilaporkan, hari ini (16 Mac 2012).

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Zulkifli Jantan, berkata 19 kes baru dilaporkan di Kuching, Bintulu (7), Samarahan (6), Miri (5), Sarikei, Limbang dan Sri Aman masing-masing empat, Kapit, Sibu dan Mukah masing-masing tiga dan Betong (1).

Daripada jumlah keseluruhan kes, 213 pesakit dimasukkan ke dalam wad namun tiada penyakit serius direkodkan setakat ini.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam, berkata saringan kesihatan akan dijalankan di pintu masuk semua sekolah di negeri ini apabila sesi persekolahan disambung semula minggu depan.

Beliau berkata, usaha itu sebahagian daripada langkah pencegahan untuk membendung wabak HFMD daripada merebak. [sumber: akhbar dalam talian]