Kuching Sentral: Kemudahan baru yang moden lagi selesa.

Posted on March 16, 2012

0


DI sebalik kesukaran beberapa syarikat bas berpindah ke Kuching Sentral menggantikan Terminal Bas Batu 3, ramai warga Bandar Raya Kuching mengakui tempat baru itu merupakan tarikan terbaru untuk dikunjungi ketika ada masa terluang.

Kompleks bernilai RM100 juta yang tersergam indah dekat simpang di Batu 6, Jalan Penrissen, Kuching mungkin sesuai diberi jolokan sebagai mercu tanda bandar raya ini.

Ia menempatkan pusa beli-belah dan terminal bas ekspres wilayah baru bandar raya Kuching yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Pembinaannya bagi menggantikan terminal di Batu 3 yang akan mula ditutup kepada semua syarikat bas, mulai 15 Mac 2012.

Kuching Sentral antara lain menempatkan pasar raya, restoran makanan segera, kafeteria dan deretan kedai menjual pakaian, barangan kesihatan dan kecantikan, barangan kemas, cenderahati, alat komunikasi dan berbagai lagi.

Terdapat 254 unit kedai dan 46 gerai perniagaan dibuka di seluruh kompleks berkenaan dan turut menyediakan hampir 500 tempat letak kenderaan terbuka dan bawah tanah yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Bagi terminal bas Kuching Sentral yang mula beroperasi sepenuhnya 1 Mac lalu, ia mempunyai ruang menunggu berhawa dingin bagi penumpang dan beroperasi 24 jam serta lengkap skrin berkomputer bagi menunjukkan jadual perjalanan bas serta kaunter penjualan tiket berkomputer.

Terminal terbabit juga mampu menampung sehingga 12,000 penumpang bas ekspres yang mahu menggunakan pengangkutan awam untuk ke Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Kalimantan, Brunei dan Sabah.

Pengarah Kuching Sentral dan Pengurus Besar Permodalan Assar Sdn Bhd, Ghazali Ismail yang dipetik menerusi akhbar baru-baru ini berkata, kompleks terbabit dibina bagi mewujudkan suasana baru yang lebih selesa kepada penumpang dan orang ramai.

Sekiranya bas ekspres belum tiba di terminal bas Kuching Sentral, penumpang bas atau orang ramai boleh membeli-belah atau menjamu selera dengan selesa di sekitar kompleks.

Pihaknya juga sudah berbincang dengan persatuan teksi di bandar raya ini untuk memulakan perkhidmatan teksi di Kuching Sentral tidak lama lagi dan sudah menyediakan 10 tempat letak teksi.

Bas henti-henti juga akan mula singgah di kompleks terbabit bagi mengambil dan menurunkan penumpang termasuk yang berulang-alik ke Bau, Lundu dan Serian.