HFMD meningkat semula pada Isnin.

Posted on March 20, 2012

0


MUNGKIN sebab klinik dan tadika tutup pada hujung minggu jumlah kes baru penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan meningkat pada Isnin berbanding Ahad – 109 kes berbanding 44 kes.

Kes dilaporkan terbaru itu menurut Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Zulkifli Jantan yang dipetik menerusi akhbar dalam talian berkata ia menjadikan total HFMD di Sarawak setakat ini ialah 3,297 kes.

Kes baru dilaporkan di Bahagian Kuching dengan 55 kes, Samarahan (13), Bintulu (11), Limbang (9), Sarikei (8), Miri (5), Sri Aman (3), Betong (2), Sibu (2) dan Mukah (1).

Total kes di Bahagian Kuching pula ialah (1,185), Samarahan (398), Bintulu (392), Miri (244), Limbang (218), Betong (177), Sarikei (177), Sri Aman (140), Sibu (140), Kapit (121) dan Mukah (105).

Jumlah pesakit dimasukkan ke hospital setakat ini ialah 240 orang – Bahagian Kuching (83), Miri (33), Sibu (32), Sarikei (23), Bintulu (21), Samarahan (18), Betong (13), Mukah (7), Limbang (6), Kapit (3) dan Sri Aman (1).

Pada Isnin seramai tujuh pesakit baru dilaporkan dimasukkan ke hospital di seluruh negeri.

Bilangan kes HFMD di Sarawak merupakan yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, tidak ada kes serius dan pesakit meninggal dunia dilaporkan setakat ini.

Institusi sekolah, prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak yang ditutup pada Isnin ialah tiga di seluruh Sarawak, yakni dua di Bahagian Kuching dan satu di Bintulu.

Dalam pada itu, sebagai langkah pencegahan, Jabatan Kesihatan Sarawak menasihatkan orang ramai mengamalkan perkara-perkara berikut:

  • menutup mulut dan hidung ketika batuk menggunakan tisu
  • kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau pencuci tangan sebelum menyediakan makanan dan selepas ke tandas
  • elakkan berkongsi barang perseorangan seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, sudu dan garpu
  • bersalin pakaian dan mandi sebelum bersama anak-anak kecil
  • bawa anak kecil yang demam ke klinik berhampiran dan jangan bawa ke kawasan orang ramai seperti kolam renang, taman permainan dan kompleks beli-belah.
Posted in: Kesihatan, Sarawak