SPM 2011 Sarawak: Lebih ramai cemerlang berbanding 2010.

Posted on March 22, 2012

0


Pencapaian SPM 2011 bagi negeri Sarawak adalah sangat menggalakkan dengan seramai 48 orang mencapai tahap cemerlang tertinggi yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran berbanding 36 orang pada tahun 2010.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Pelajaran Sarawak daripada jumlah itu, lima orang mendapat 11 A+, 40 orang mendapat 10 A+ dan tiga orang mendapat 9 A+ dalam semua mata pelajaran.

Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula ialah 729 orang berbanding 637 orang pada tahun 2010, iaitu peningkatan seramai 92 orang.

Sebahagian besar sekolah di Sarawak dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan.

Hanya sebilangan kecil iaitu lima buah sekolah (2.82 peratus) sahaja yang memperolehi pencapaian berpotensi.

Pada SPM 2011, Sarawak telah berjaya meningkatkan jumlah sekolah dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang kepada tiga buah sekolah daripada sebuah sekolah pada tahun sebelumnya, pencapaian Baik kepada 27 buah sekolah daripada 25 buah sekolah pada tahun 2010 dan pencapaian Memuaskan kepada 142 buah sekolah daripada 137 pada 2010.

Ini menunjukkan kesan positif program tawaran baru antara pihak sekolah dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah dari segi pencapaian akademik.

Empat buah sekolah berprestasi Cemerlang ialah SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara Betong dan Maktab Rendah Sains Mara Kuching.

Manakala 11 sekolah luar bandar berprestasi Baik ialah SMK Kwong Hua Sibu, SMK Tinggi Sarikei, SMK Kubong Limbang, SMK Kai Chung Meradong, SMK Vokasional Matang Kuching, SMK Tong Hua Meradong, SMK Three Rivers Mukah, SM Sungai Tapang Samarahan, SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud Samarahan, SM Vokasional Betong dan SMK Agama Sheikh Othman Abdul Wahab Kuching.

Seramai 38, 727 orang calon di Sarawak mendaftar untuk menduduki SPM 2011.

Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 559 calon SPM 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) di seluruh negara bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada tahun 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada tahun 2010.

“Pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010,” katanya pada majlis pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM pada Rabu.

Abd Ghafar berkata seramai tujuh calon memperoleh semua A+ dalam 12 mata pelajaran, 72 calon (11 mata pelajaran), 284 calon (10 mata pelajaran) dan 143 calon (sembilan pelajaran).

Berdasarkan GPN, Abd Ghafar berkata keputusan SPM 2011 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. 

Beliau berkata pencapaian GPN calon bandar dan luar bandar bertambah baik dengan calon bandar sebanyak 0.22 iaitu daripada 4.89 pada tahun 2010 kepada 4.67 pada tahun 2011 dan calon luar bandar sebanyak 0.13 iaitu daripada 5.5 pada tahun 2010 kepada 5.39 pada tahun 2011.

“Namun, jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.09,” katanya. 

Abd Ghafar berkata pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 buah manakala sekolah dalam kategori memuaskan dan berpotensi masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17 buah.

Posted in: pendidikan, Sarawak