Pidato 1Malaysia mencungkil skil berucap.

Posted on March 25, 2012

0


PIDATO ialah kegiatan berbicara di depan umum untuk menyatakan pendapatnya, atau memberikan gambaran tentang suatu hal.

Ia yang juga dikaitkan dengan skil berucap dengan nada suara sekejap tinggi dan sekejap mengendur, biasa digunakan oleh seorang pemimpin ketika di depan ramai anak buahnya atau khalayak ramai.

Kepentingan skil berpidato sebenarnya tidak kurang penting seperti seni pengurusan dan pentadbiran jika sesebuah organisasi ingin terus dipandang unggul oleh khalayak.

Tidak kurang juga orang mengatakan jika bijak berkata-kata tetapi gagal melaksana itu maknanya membawa hampa! Memang benar kata-kata itu kerana jika hanya bercakap siang dan malam, bila masa pula kerja yang diperkatakan hendak dilaksanakan.

Bagaimanapun, kebijaksanaan berpidato diperlukan dalam menyampaikan hala tuju dan rancangan kerajaan demi rakyat.

Pidato yang baik akan menarik perhatian mereka yang mendengar dan ia terus meresap ke kalbu hingga menimbulkan satu kepercayaan dan keyakinan bahawa dasar kerajaan itu amat wajar demi pembangunan negara.

Pemidato yang unggul mampu menghimpunkan lautan manusia.

Antara pemidato terbaik ialah Soekarno, seorang pemimpin Indonesia yang mempunyai daya tarikan sendiri dan membangkitkan semangat pendengarnya – itu dinamakan ucapan yang meruntun jiwa sesiapa sahaja mendengar.

Ada yang mengatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pemidato terbaik di Malaysia?

Benarkah demikian? Bagi saya tidak. Pemidato terbaik bukan sekadar bijak berkata-kata tetapi apa yang dituturkan wajar disokong dengan bukti kukuh.

Ya memang benar ucapan Datuk Seri Anwar menarik perhatian ramai dan menggegarkan gegendang telinga dengan alunan nada suara tinggi-rendahnya.

Tetapi malangnya ia sekadar menjadi bahan hiburan orang ramai terutama ketika kempen pilihan raya. Awal-awal perbincangan sudah dinyatakan pidato berjaya ialah yang mampu mempengaruhi keputusan majoriti.

Melihat kepentingan skil pidato, Jabatan Penerangan Sarawak mempelawa orang ramai untuk menyertai Pertandingan Pidato 1Malaysia (bukan Melayu) 2012.

Hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 perlu dimenangi.

Pertandingan Pidato 1Malaysia adalah sebagai antara media atau kaedah untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman orang ramai tentang dasar-dasar negara khasnya Gagasan 1Malaysia dan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan oleh pelbagai kaum.

Pemidato mestilah warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan terdiri daripada golongan bukan Melayu.

Johan akan menerima wang tunai RM1,500, naib johan RM1,000, ketiga RM500 dan lima hadiah sagu hati RM200 tiap seorang.

Tarikh tutup pertandingan ialah pada 30 Mac 2012.

Pemidato boleh memilih satu tajuk berikut :

1) 1Malaysia teras perpaduan,

2) Jati diri asas kecemerlangan negara,

3) 1Malaysia kunci kesejahteraan negara, dan

4) Penghayatan 1Malaysia penentu kecemerlangan negara.

Pertandingan akan diadakan pada bulan April 2012 di Lawasa.

Keterangan lanjut, sila hubungi Linda Padan di 082-319759 dan Nurie Botik 082-319761.

Posted in: Politik, Sosial