Sarawak perlukan inap desa berkualiti untuk tarik lebih ramai pelanggan.

Posted on March 25, 2012

0


KEINDAHAN alam semulajadi dan adat resam yang pelbagai merupakan pemangkin dalam memperkasakan inap desa di Bumi Kenyalang.

Inap desa yang baik ialah bukan hanya menyediakan pelanggan tempat tidur, mandi dan makan minum, malah ia lebih dari itu.

Ertinya pengusaha inap desa perlu menawarkan pelancong tempat tinggal yang ‘hidup’ dengan berbagai acara di sekitar kawasan tersebut.

Misalnya jika ada 10 pengusaha inap desa di sesebuah kawasan – apa salahnya jika mereka bergabung dalam menyajikan tetamu dengan persembahan kebudayaan setempat, atau setidak-tidaknya menceritakan asal usul tempat tersebut yang mungkin menarik perhatian mereka.

Jadi tidaklah pelancong cuma berjalan-jalan umpama tidak keruan apabila ada kelapangan.

Inap desa, kejayaannya menarik ramai pelanggan, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak bergantung dengan adanya nilai tambah terhadap produk yang sama dengan orang lain. Nilai tambah itulah yang menentukan jumlah pelanggan meskipun menawakarkan produk yang sama.

Saya pernah menginap di sebuah rumah di Semenanjung yang mengatakan mereka sebagai menyediakan inap desa. Ya … betul rumah itu terletak di kampung dan saya menginap di situ untuk tiga malam. Itu pengertian mudah untuk istilah “inap desa” atau “homestay”.

Apa yang diberi kepada saya dan dua lagi rakan saya ialah sebuah bilik yang menyerupai hotel bajet. Ada pendingin udara, katil, bantal, tilam dan bilik mandi dilengkapi penghangat air.

Bilik itu dipisahkan dari rumah. Pelanggan hanya masuk ke rumah pemilik untuk makan apabila dipanggil. Kurang komunikasi dengan pelancong dan tidak ada aktiviti khusus disediakan. Yang ada cuma lepak di warung kopi bila malam hari.

Bukannya saya cuba memburuk-burukkan perniagaan orang lain tetapi inap desa sebegitu tidak layak untuk dipromosikan kerana ia nampak lesu dalam penyediaan program menarik agar pelancong datang ke situ buat kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit berkata usahawan yang terbabit dalam program inap desa di negara ini mampu meraih pendapatan yang lebih lumayan jika mereka melaksanakannya dengan lebih sistematik dan profesional.

Beliau dipetik menerusi laporan berita Bernama berkata, program seperti inap desa telah lama wujud di negara seperti Australia dan New Zealand yang berjaya maraih keuntungan yang tinggi kerana diurus dengan strategi pemasaran yang profesional dan berkesan.

“Peserta program inap desa perlu menggunakan kekayaan ekopelancongan di negara ini untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke tempat mereka khasnya pelancong asing dan pengurusan yang lebih sistematik selain mempunyai maklumat, statistik dan data maklumat pelancongan yang lengkap,” katanya.

Kejayaan program inap desa di Sabah yang berjaya menarik kira-kira 17,000 pengunjung dengan pendapatan RM2.5 juta pada tahun 2010 membuktikan program tersebut berpotensi besar dalam industri pelancongan negara.

Menurutnya selain Sabah program tersebut turut mencatatkan kejayaan yang besar di Pahang dengan kira-kira 33,000 pengunjung dan meraih pendapatan RM1.6 juta selain Selangor dengan 35,000 pengunjung dan pendapatan RM1.7 juta.

“Di Sarawak terdapat 27 peserta inap desa dengan jumlah bilik 570 dan berjaya meraih pendapatan RM978,703.62 dan selepas bengkel ini kita berharap dapat meraih lebih RM1 juta,” katanya.

Setakat hujung tahun 2011 Kementerian Pelancongan Malaysia telah mendaftarkan sebanyak 146 buah inap desa di seluruh negara yang melibatkan 3,124 pengusaha dan menawarkan sebanyak 4,179 bilik.

Posted in: Ekonomi, Pelancongan