Pesta Benak meriahkan Kalendar Pelancongan Sarawak.

Posted on March 26, 2012

0


FENOMENA benak di Batang Lupar telah mengangkat nama Sri Aman sebagai sebuah lokasi pelancongan popular di Sarawak.

Selain mengangkat populariti Sri Aman, benak juga merupakan antara faktor penting yang dapat menjana
perkembangan industri pelancongan di bandar tersebut.

Fenomena benak di Batang Lupar, di sini, menjadi popular dan telah dikomersialkan menerusi Pesta Benak setiap tahun.

Pesta Benak yang bermula pada 2001 merupakan satu acara utama dalam kalendar pelancongan Sarawak dan disambut bersama dengan sukan air, persembahan kebudayaan dan pameran kraftangan.

Fenomena itu merujuk kepada ombak besar yang menyusur dari hilir ke hulu sungai, yang biasanya berlaku apabila air pasang, iaitu setinggi lima meter ke atas, dan pergerakan kuat yang berlaku secara berterusan itu
mengakibatkan paras air sungai meningkat secara mendadak, sehingga permukaan air menjadi berombak.

Akibat tarikan graviti yang kuat, ombak yang dihasilkan bergerak dalam satu bentuk putaran (bergulung) dari dasar sungai.   

Fenomena ini diketahui berlaku di 66 lokasi di seluruh dunia, tiga di Malaysia termasuk Sri Aman, Sarawak.

Pada tahun ini, ia akan diadakan pada 6 hingga 8 April 2012.

Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh dipetik menerusi akhbar baru-baru ini memberitahu tarikh tersebut dipilih memandangkan air pasang atau Benak bakal mencapai paras tertinggi bagi sepanjang tahun ini pada waktu itu. 

“Beberapa kategori aktiviti utama bakal diadakan sempena Pesta Benak ini antaranya Regatta Benak Batang Lupar, Meluncur Benak Batang Lupar, Bazaar Ria Benak, Budaya Ria Benak, Perasmian Pesta Benak, Pameran Benak dan Karnival Permotoran.
 
“Antara acara menarik yang terkandung dalam kategori itu adalah lumba perahu, lumba jet ski, malam kesenian dan kebudayaan, Miss Tourism Benak, Benak Idol, Pertunjukkan Bunga Api, Pertandingan Bertandak dan banyak lagi,” katanya.
 
Dengan lumba jet ski menjadi acara terbaru dalam sambutan Pesta Benak kali ini, pihaknya akan menjemput empat orang peluncur ombak dari Perancis, satu dari United Kingdom dan empat dari Semenanjung Malaysia bagi meluncur benak semasa pesta itu.
 
“Objektif utama ialah untuk menonjolkan Benak Batang Lupar sebagai Produk Pelancongan Unik Sarawak dan Malaysia di samping menganjak kedudukan Pesta Benak Sri Aman dalam senarai 10 acara terbaik di Sarawak,” katanya.

image

Posted in: Pelancongan, Sarawak