Pesta Kaul 2012: Kurang sebulan, bandar Mukah bakal dibanjiri pelawat

Posted on March 27, 2012

0


Laman sesawang rasmi Pesta Kaul Mukah 2012

SETAHU saya ini pertama kali Pesta Kaul Mukah mempunyai laman sesawangnya sendiri (betulkan jika saya silap).

Jika benar, ia menunjukkan satu komitmen yang wajar dipuji dalam usaha melonjakkan lagi bilangan pengunjung pesta kaum Melanau ini.

Pesta Kaul Mukah yang diadakan setiap tahun telah diangkat menjadi antara aktiviti dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

Pada tahun ini ia dijadualkan berlangsung mulai 19 hingga 29 April 2012.

Bertemakan ‘Tiada Yang Seuniknya”, ia dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 21 April 2012 di tapak kaul.

Tibow (permainan tradisi Melanau) yang popular dimainkan pada Pesta Kaul Mukah

Banyak acara yang dijadualkan oleh penganjur Pejabat Residen Bahagian Mukah – antaranya perarakan serahang, persembahan kebudayaan dan pertandingan mengubah serahang.

Bagi mereka yang bukan berasal dari Sarawak mungkin tertanya-tanya apakah pesta tersebut. Mungkin juga ada orang Sarawak sendiri yang tidak pernah tahu tentang kebudayaan kaum Melanau.

Yang pasti ada pelancong asing yang akan datang menyaksikan pesta, meskipun tidak sehebat jumlah yang datang menyaksikan Pesta Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kuching.

Menurut laman sesawang rasmi www.kaulmukah.com, pesta kaul memiliki pengertian sebegini :

“Kaul adalah perayaan tradisi yang diraikan oleh kaum Melanau yang tinggal di sepanjang pantai Sarawak. Pada masa lalu, Kaul dilihat sebagai satu majlis keagamaan untuk menenangkan roh-roh laut, tanah, hutan dan ladang yang menjadikannya sebagai perayaan yang paling penting dalam tahun kaum Melanau Pagan.

Ia adalah upacara penyucian dan kesyukuran serta salah satu restu untuk memperoleh kedamaian serta nasib yang baik dalam menjalani kehidupan seharian. Ia diadakan pada permulaan dalam kalendar kaum Melanau Pagan yang menandakan musim tengkujuh telah berlalu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka sebagai petani dan nelayan”.

Pekerjaan tradisi Melanau, menghasilkan sagu.

Menjelaskan lebih lanjut:

“Kaul merupakan satu pesta keramaian yang diraikan oleh masyarakat Melanau sejak dari dulu lagi. Pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa dari kaum lain. 

Dahulu, Kaul dilihat sebagai perayaan keagamaan oleh masyarakat Melanau Pagan untuk memohon restu daripada penunggu laut, darat, ladang dan hutan agar penunggu tersebut tidak mengganggu ketika mereka mencari rezeki. Disebabkan kaum Melanau sinonim dengan aktiviti nelayan, Kaul diadakan bagi menandakan musim tengkujuh telah berlalu.
   
Perubahan agama dan anutan di kalangan masyarakat Melanau turut mengubah aplikasi dan kepercayaan Kaul. Kehadiran Islam dan Kristian membawa senario baru kepada Kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai satu pesta sosio-budaya. Namun di dalamnya masih terselit keunikan warisan Bangsa Melanau di Negeri Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut masa.
   
Pesta Kaul menjadi medan perkelahan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Pesta ini menghidangkan satu manifestasi khazanah budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan dan tarian. Kini sambutannya disertai oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya untuk melihat dan menyertai pelbagai permainan tradisi seperti Tibow, pameran dan jualan makanan eksotik tempatan seperti Tebaloi, Si’et, Sagu dan Umai persembahan kebudayaan, pameran kraftangan dan yang lebih menarik adalah proses penyatuan keakrabaan yang menemukan pelbagai bangsa, agama dan pertuturan dalam upacara perkelahan komuniti”.

Zaman sudah berubah, upacara yang dahulunya merupakan satu aktiviti ritual, kini telah menjadi acara komersial.

Peniaga kecil-kecilan di sekitar bandar Mukah juga dapat berniaga – memberi pendapatan tambahan kepada mereka.

Pengusaha hotel juga berasa seronok apabila bilik mereka habis ditempah.

Malah, ia dapat memperkenalkan Mukah di mata pelancong asing terutamanya, dengan harapan dapat mempromosikan kawasan berkenaan sebagai satu destinasi pelancongan.